ARUL gagal membawa pasukan negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris. FOTO ASYRAF HAMZAH
ARUL gagal membawa pasukan negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hanya akan membuat keputusan berhubung masa depan A Arul Selvaraj selepas pengendali skuad hoki negara itu mengemukakan laporan kepada badan induk berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, ketika ini belum ada sebarang keputusan akan dilakukan selagi pihaknya tidak menerima laporan berhubung prestasi skuad negara terutamanya ketika kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sekarang ini kami sedang menunggu Arul untuk menyerahkan laporan itu, kami sudah maklumkan kepadanya sebelum ini.

"Kemudian selepas kami terima laporan itu, Jawatankuasa Kejurulatihan akan memanggil satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi.

Arul menerusi laporan Arena Metro sebelum ini sedia menerima sebarang keputusan daripada MHC berhubung kedudukannya selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, beliau akan berjumpa Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal bagi membincangkan sama ada masih diberi mandat untuk mengendalikan pasukan negara atau sebaliknya.

Terdahulu, skuad Speedy Tigers menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan kelima di Muscat, Oman.

Kegagalan terbaru itu menyaksikan penantian untuk menyaksikan skuad negara beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu berpanjangan selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney.

Arul membimbing skuad hoki lelaki negara sejak Ogos 2020 bagi menggantikan tugas bekas ketua jurulatih, Roelant Olthmans dengan misi utama diletakkan kepadanya untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 4:38 PM