Arul Selvaraj. FOTO File NSTP
Arul Selvaraj. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


KEHADIRAN Arul Selvaraj selaku penolong ketua jurulatih skuad hoki senior negara memberi nilai tambah kepada Malaysian Tigers untuk menghadapi kejohanan pada masa depan.

Penyerang skuad negara, Muhammad Haziq Samsul berkata, Arul adalah seorang jurulatih berkaliber dan mempunyai pendekatan latihan berbeza berbanding jurulatih lain.

"Saya pernah berada di bawah bimbingannya ketika dia menjadi jurulatih skuad remaja. Dia adalah jurulatih yang mempunyai karakter tersendiri.

"Pengalamannya juga cukup luas ketika membimbing pasukan kebangsaan dan kelab," katanya.

Ditanya spekulasi Arul bakal menjadi pengganti kepada ketua jurulatih, Roelant Oltmans yang kontraknya akan tamat pada tahun ini, Haziq berkata sebagai pemain mereka harus dapat menyesuaikan diri dengan mana-mana jurulatih.

Jelas Haziq, apa yang penting ialah persiapan dirinya sendiri yang bertekad mahu kembali beraksi selepas dua tahun dibayangi dengan kecederaan.

"Selama dua tahun saya mengalami prestasi turun naik. Ia bukanlah tempoh yang mudah. Kini saya sudah kembali cergas sepenuhnya dan mahu kembali beraksi," katanya.

Oltmans menerusi laporan semalam berkata MHC mungkin sudah mempunyai perancangan untuk menggantikan dirinya dengan Arul selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Ia selepas badan induk itu melantik Arul yang juga jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai penolong ketua jurulatih dan akan menyertai pasukan 15 Ogos depan.

Arul yang juga bekas pemain kebangsaan, mempunyai pengalaman kejurulatihan di Malaysia, Afrika Selatan dan Ireland, selain UniKL, di mana beliau membantu pasukan universiti itu meraih treble Liga Hoki Malaysia pada Februari lalu dengan memenangi kejuaraan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 7:17 PM