CELADES (kiri) bergambar dengan presiden Valencia, Anil Murthy ketika diperkenalkan di Mestalla, kelmarin. — FOTO EPA
CELADES (kiri) bergambar dengan presiden Valencia, Anil Murthy ketika diperkenalkan di Mestalla, kelmarin. — FOTO EPA
AFP

VALENCIA patut menumpukan kepada dua perlawanan penting menentang Barcelona dalam La Liga dan Chelsea bagi Liga Juara-Juara dan bukannya mengharungi krisis selepas pemecatan jurulatih Marcelino Garcia Toral.

Marcelino dipecat Rabu lalu dan digantikan oleh bekas pemain tengah Barcelona, Real Madrid dan Sepanyol, Albert Celades, yang berdepan ujian getir di Nou Camp, malam esok.

Pemecatan Marcelino, 54, oleh pemilik Valencia dari Singapura, Peter Lim mendedahkan suasana pecah belah di kelab itu selepas Marcelino menyatukan mereka semula sejak beliau dilantik pada 2017.

Bekas naib juara Liga Juara-Juara dua kali itu masih segar dengan kejayaan empat penamat teratas La Liga dua musim berturut-turut dan musim lalu mengalahkan Barcelona pada final Piala Raja Sepanyol untuk menjulang trofi sulung mereka dalam tempoh 11 tahun.

Bagaimanapun Marcelino, bekas bos Sevilla dan Villarreal, agak kritikal dengan polisi perpindahan kelab itu pada musim panas kali ini, termasuk cubaan untuk menjual penyerang Sepanyol, Rodrigo Moreno kepada Atletico Madrid.

Rodrigo akhirnya kekal, begitu juga Marcelino, bagi tiga aksi pertama kempen.

PAREJO (kanan) ketika membantu Valencia mengalahkan Barcelona pada final Piala Raja Sepanyol. — FOTO laliga.com
PAREJO (kanan) ketika membantu Valencia mengalahkan Barcelona pada final Piala Raja Sepanyol. — FOTO laliga.com

Namun selepas hanya meraih empat mata daripada maksimum sembilan, termasuk menang 2-0 ke atas Mallorca sebelum rehat perlawanan antarabangsa, jurulatih itu disingkirkan ketika pasukan bersiap sedia menghadapi dua perlawanan besar mereka musim ini.

“Saya pasti anda akan bertindak cemerlang ke mana saja anda pergi dan di mana saja yang membenarkan anda bekerja,” kata kapten Dani Parejo dalam Twitter.

Celades yang berusia 43 tahun, pembantu jurulatih di Real Madrid musim lalu, dijangka berdepan suasana sukar di kelab itu.

“Valencia seperti seekor lembu jantan, satu kelab besar,” katanya. “Saya tidak takut. Saya sedar harapannya tinggi dan saya faham mengenai apa yang mereka mahukan. Saya tidak mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kelab.”

Selepas perlawanan malam esok, Valencia bertandang ke London untuk menentang Chelsea bagi aksi pembukaan Kumpulan H Liga Juara-Juara, yang mana mereka turut berdepan Ajax dan Lille.

Jadual perlawanan:

Awal pagi esok

Mallorca mln Athletic Bilbao

Esok

Real Madrid mln Levante, Leganes mln Villarreal, Real Sociedad mln Atletico Madrid, Barcelona mln Valencia

Ahad

Eibar mln Espanyol, Alaves mln Sevilla, Celta Vigo mln Granada, Valladolid mln Osasuna, Betis mln Getafe

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 12:51 PM