Tan Boon Heong
Tan Boon Heong
Ferzalfie Fauzi


BIARPUN corak latihan dijangka tidak banyak perbezaan namun bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong berharap pemain mampu memberi kerjasama kepada Flandy Limpele.

Menurut bekas gandingan nombor satu dunia itu, corak permainan mahupun latihan antara jurulatih terdahulu, Paulus Firman dengan Flandy dijangka sama selepas kedua-duanya berasal dari Indonesia.

"Saya rasa tidak banyak perubahan dan akhir sekali kita perlu melihat kepada pemain itu sendiri, disiplin mereka serta kepercayaan mereka kepada jurulatih," katanya.

Boon Heong yang pernah meraih emas Sukan Asia 2006 berkata, ini adalah masanya buat jurulatih untuk membina skuad mantap untuk persediaan beberapa kejohanan besar.

"Saya rasa semua jurulatih semuanya bagus, cuma pemain perlu menghormati mereka. Macam mana hendak memperbaiki diri kalau mereka tidak mempunyai sifat saling percaya antara satu sama lain," katanya yang pernah berguru dengan jurulatih kelahiran Indonesia, Rexy Mainaky.

Ditanya mengenai corak latihan dari Indonesia, Boon Heong menjangkakan pemain beregu lelaki negara akan ditekankan dengan corak permainan di bahagian depan.

"Selain sangat hebat dengan kawalan permainan di bahagian depan, mereka juga bakal didedahkan dengan tiga pukulan awal untuk memerangkap lawan.

"Jadi saya harap mereka mampu bekerjasama dengan baik bersama Flandy nanti," katanya.

Bekas jurulatih beregu India itu masih lagi dalam proses untuk melengkapkan dokumentasi sebelum datang memulakan tugas barunya yang dijangka bulan ini.

Selain Flandy, seorang lagi jurulatih baru, Chan Chong Ming dijangka akan melapor diri minggu depan namun perlu menjalani kuarantin terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:53 PM