FLANDY (tengah) enggan menyambung kontrak bersama BAM. FOTO BAM
FLANDY (tengah) enggan menyambung kontrak bersama BAM. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Tugas saya sudah selesai," ujar Flandy Limpele yang tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan akan menyertai Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) sebagai pengendali skuad beregu campuran negara itu.

Sentuhan jurulatih kelahiran Indonesia itu bersama BAM sejak menyertai badan induk berkenaan pada Mei 2020 dilihat membuahkan hasil apabila skuad beregu lelaki negara menunjukkan kebangkitan.

Beliau berjaya membantu beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain mengemudi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memenangi kejohanan Terbuka Jerman dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Flandy memiliki sebab tersendiri mengapa beliau mahu meninggalkan BAM biarpun sudah beberapa kali dipujuk untuk kekal dan ditawarkan kontrak baru.

"Ya memang betul saya akan keluar daripada BAM kerana kontrak sudah pun berakhir. Selain itu, saya anggap tugas saya di sini juga sudah selesai sebaik berakhirnya Sukan Olimpik lalu," katanya yang memenangi gangsa di Olimpik Athens 2004 bersama Eng Hian.

Ujarnya, tanggungjawab untuk meningkatkan prestasi beregu lelaki juga difikirkannya sudah dilaksanakan sebaiknya, sekali gus memudahkan beliau membuat keputusan meninggalkan BAM secara rasmi pada 1 April ini.

"Saya akan kembali ke Indonesia sebagai jurulatih beregu campuran di sana. Walaupun tidak bersama BAM lagi, saya harap semua pemain beregu lelaki teruskan bekerja keras dalam latihan.

"Apabila turun ke dalam gelanggang, keluarkan permainan yang terbaik dan percaya pada diri sendiri. Sudah tentu saya doakan mereka akan lebih berjaya selepas ini," ujar pengendali berusia 48 tahun itu.

Sentuhannya juga menyaksikan beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menunjukkan banyak peningkatan apabila berjaya memenangi tiga kejohanan termasuk Terbuka Poland serta Kejohanan Antarabangsa Sepanyol dan India.

Sementara itu, Ketua Pembangunan dan Pencapaian PBSI, Rionny Mainaky mengesahkan Flandy akan menyertai badan induk badminton negara berkenaan bulan depan.

Sebelum ini skuad beregu campuran negara berkenaan dilatih Nova Widianto yang juga bekas juara dunia bersama Liliyana Natsir.

Selain Flandy, PBSI juga mengikat kontrak Namrih Suroto sebagai pembantu jurulatih beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 1:18 PM