Dari kiri Flandy Limpele, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO EPA
Dari kiri Flandy Limpele, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Masih belum selesai, itulah yang dilaungkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele walaupun anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pulang ke tanah air dengan meraih gangsa.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, fokusnya selepas ini adalah membantu pasangan kelapan dunia itu untuk mempersiapkan diri bagi melakar lebih banyak kejayaan sekali gus bergelar jaguh dunia.

"Sudah pasti saya bangga dengan pencapaian mereka," katanya yang sebelum ini turut pernah merasai pengalaman meraih gangsa di Sukan Olimpik Athens 2004 ketika bergandingan bersama Eng Hian.

Ujar Flandy, kedua-dua pemainnya itu bekerja keras dalam latihan untuk persiapan Olimpik Tokyo dan mereka menerima setiap cabaran dalam program latihan yang beliau sediakan.

"Sejak saya mengambil alih tugas sebagai jurulatih tahun lalu, saya memang yakin dengan kemampuan mereka. Mereka masih muda dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.

"Fokus kini adalah bagi meningkatkan lagi tahap ketahanan, kelajuan dan kekuatan mereka," kata Flandy.

Ketika melalui saingan kalah mati, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo buat kali pertama dalam lapan pertemuan di suku akhir.

Bagaimanapun, mereka terlepas tiket ke final selepas tewas di tangan beregu China, Liu Jun Hui-Liu Yu Chen di separuh akhir.

Pada penentuan tempat ketiga dan keempat, Aaron-Wooi Yik mengejutkan bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan bagi meraih gangsa sekali gus menebus kekecewaan tewas di tangan lawan berkenaan ketika aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:57 PM