ANDRE jaguh lompat jauh negara.
ANDRE jaguh lompat jauh negara.
Aida Adilah Mat


"PERSATUAN ada duit ke tak sampai duit insentif pun perlu tunggu lama," kata bekas pelari negara Nazmizan Muhammad.

Tegasnya, dia bersama kuartet 4x100m dibarisi Watson Nyambek, Azmi Ibrahim dan R Ganeswaren pernah memecahkan rekod kebangsaan pada 2001 juga tidak menerima bayaran insentif yang pernah dijanjikan badan induk itu dan kini episod sama berulang.

Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berkata, jika mahu olahraga maju, KOM perlu berani menerima teguran dan membuat pembaharuan.

"KOM tidak pernah belajar daripada kesilapan. Mereka seharusnya ada hitam putih berhubung rekod. Ia perlu dibuat sekarang. Biar semua jelas. Siapa sahaja jadi presiden ikut peraturan itu. "Jangan tunggu keluar isu baru kelam kabut. Benda ini bukan baharu. Daripada dahulu dan bila tukar presiden perkara sama berlaku. Kalau macam ni, sampai bila-bila pun olahraga negara tidak maju bila tiada sistem sebagai rujukan," katanya.

Nazmizan berkata, ada ketikanya KOM tidak mengemas kini rekod kebangsaan terutama di kejohanan terbuka walhal ia sepatutnya menjadi data penting untuk rujukan atlet muda bermotivasi memecahkannya.

Terdahulu KOM memberi jaminan menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Perkara itu dibangkitkan selepas beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 9:48 PM