NAZMIZAN (kanan) turut menyuarakan kebimbangannya kerana tidak mustahil sukan olahraga negara nanti akan kehilangan permata berharga. FOTO NSTP
NAZMIZAN (kanan) turut menyuarakan kebimbangannya kerana tidak mustahil sukan olahraga negara nanti akan kehilangan permata berharga. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) lemah." Itu kata-kata bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad yang tidak bersetuju dengan tindakan badan induk itu menggugurkan atlet terbaik ketika ini dari skuad kebangsaan.

Ia disifatkan sebagai satu tindakan yang akan memakan diri badan induk itu sendiri.

Tunggu dan lihat, adalah pendekatan terbaik ketika ini dengan ramai pemerhati merasa tindakan KOM menyingkirkan atlet terbaik terutama dalam acara 400 meter (m) akan membawa padah kerana ia adalah satu kerugian besar buat sukan olahraga negara.

Nazmizan turut menyuarakan kebimbangannya kerana tidak mustahil sukan olahraga negara nanti akan kehilangan permata berharga berikutan isu yang sedang melanda sukan negara ketika ini.

"Saya pelik kenapa KOM menggugurkan atlet-atlet yang bagus, contohnya dalam acara 400 m (meter). Mereka sebenarnya patut diberi peluang untuk tempoh beberapa bulan lagi sebelum prestasi dinilai.

"Sudahlah elaun dipotong kemudian atlet yang bagus digugurkan dan jika ia berlarutan adalah tidak mustahil, atlet negara secara perlahan-lahan akan mengundurkan diri dan terus meninggalkan olahraga.

"Lebih baik mereka teruskan pengajian atau beri fokus kepada bidang lain jika persatuan sendiri tidak menyokong atau membantu atlet," katanya.

Terdahulu, KOM menggugurkan tiga atlet 400m yang mempunyai potensi besar untuk membentuk skuad terbaik iaitu Abdul Wafiy Roslan, 23, Muhammad Ilham Suhaimi, 22, dan Muhammad Saiful Safwan Saifuddin, 23 atas alasan tidak menyerlah.

Namun jika dilihat kembali tahun lalu hanya ada dua kejohanan yang boleh sertai atlet iaitu Grand Prix pada bulan April dan yang Terbaru Kejohanan Kebangsaan Disember lalu.

Bekas raja pecut Asia Tenggara itu berkata, KOM seperti tidak belajar daripada apa yang berlaku apabila tidak berusaha mencari dana sendiri.

"Bila duit tak ada, KOM carilah alternatif. Kalau KOM ada duit, saya rasa tiada masalah jika MSN gugurkan atlet. Atlet yang digugurkan ini boleh bergantung kepada KOM untuk teruskan karier.

"Ini tidak. Apa yang KOM buat untuk atlet-atlet yang digugurkan ini. Langsung tiada apa-apa.

"Saya lihat KOM sebenarnya hanya pada nama, yang buat kerja hasilkan atlet sekolah sukan dan MSN. Ambil bila berjaya. Buang ikut suka," katanya.

Selain tiga atlet 400m turut digugurkan adalah barisan pelari pecut terdiri juara Sukan Malaysia Perak, Muhammad Aqil Yasmin, Nexson Kennedy dan Zaidatul Husniah Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 7:27 PM