Roslin Hashim
Roslin Hashim
Ferzalfie Fauzi


JANGAN lambat bertindak, itu pesan bekas pemain negara, Roslin Hashim kepada dua pengendali baharu dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Flandy Limpele dan Chan Chong Ming.

Menurutnya, dalam era moden sekarang ini jurulatih harus cepat mengenali pemain agar tidak berasa terburu-buru dan kekok untuk memulakan tugas.

"Mereka berdua harus cepat respons dan sudah tahu program apa bakal digunakan ke atas pemain yang berada di bawah mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Roslin berkata, pendekatan mengenali pemain harus dilakukan dengan pantas agar kedua-dua jurulatih berkenaan tidak berada dalam keadaan tercari-cari apabila memulakan tugas.

"Saya rasa Flandy bukan tidak berdepan masalah kerana beliau sudah pernah berada di tahap tinggi dalam bidang kejurulatihan dan Chong Ming mungkin sedikit baru kerana sebelum ini hanya menjaga pemain di akademinya saja.

"Selepas mereka berdua cepat mengenal pasti pemain barulah kita boleh lihat tahap kemampuan mereka. Jadi program latihan inilah kita akan lihat kelebihan seseorang jurulatih itu," katanya.

Bagaimanapun, Roslin mengakui pengalaman yang ada kepada kedua-dua jurulatih baru negara itu ketika sebagai pemain, boleh diguna pakai.

"Cuma jangan bawa corak latihan yang sama ketika mereka menjadi pemain dahulu secara total. Mesti bijak untuk mencipta sesuatu yang baru.

"Sekarang ini pelbagai rintangan mereka perlu hadapi ketika musim Covid-19, pemain sudah lama tidak berlatih menyertai kejohanan, penggunaan bulu tangkis sintetik 2021 dan mungkin kiraan baru 11 mata," katanya.

Tugas berat bakal menanti Chong Ming berikutan skuad beregu wanita boleh dikategorikan sedikit ketinggalan dari segi prestasi dan pencapaian berbanding lain.

Bagi Flandy pula, dia harus segera mencari satu atau dua pasangan lagi yang mempunyai prestasi mantap seperti gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Kedua-dua jurulatih itu dijangka memulakan tugas 1 Julai ini di BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 10:37 PM