Flandy Limpele (kanan) berpengalaman membimbing skuad badminton India.
Flandy Limpele (kanan) berpengalaman membimbing skuad badminton India.
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu memberi masa kepada seseorang jurulatih membuktikan kemampuan mereka dan bukannya kerap melakukan pertukaran dalam struktur kejurulatihan.

Bekas pemain beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, kekerapan menukar struktur kejurulatihan hanya akan memberi impak negatif kepada pemain.

"Dalam hal ini saya tidak menyalahkan presiden, sebaliknya orang sekeliling yang mencadangkan kepadanya. Seperti tidak ada satu dasar atau ketetapan untuk seseorang jurulatih itu membuktikan kemampuannya.

"Kadang-kadang saya lihat belum sampai dua tahun membimbing satu-satu pemain, jurulatih itu sudah diberi peranan untuk melatih pemain lain pula. Sebagai pemain mereka sudah pasti hanya bersetuju dengan perubahan itu kerana tidak mempunyai pilihan," katanya.

Jalani juga berharap BAM membuat keputusan yang tepat dalam memilih jurulatih dan bukannya hanya disebabkan mengenali mereka tanpa melihat pencapaian sebagai pemain dan jurulatih.

"Jangan buat keputusan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penstrukturan semula kejurulatihan dilakukan badan induk itu yang menyaksikan Flandy Limpele tampil sebagai wajah baharu mengemudi beregu lelaki negara.

Penstrukturan semula barisan kejurulatihan BAM itu turut membabitkan sistem kejurulatihan perseorangan lelaki yang mana Hendrawan kembali mengalas tugas sebagai ketua jurulatih sambil dibantu oleh Datuk Tey Seu Bock.

Manakala Paulus Firman yang sebelum ini membimbing beregu lelaki, kini bertanggungjawab membimbing beregu campuran bersama-sama Teo Kok Siang.

Sementara itu, Indra Widjaja yang sebelum ini menjadi pembantu kepada Hendrawan akan diberi tugas mengemudi barisan pemain wanita bersama-sama Loh Wei Sheng.

Bekas pemain beregu kebangsaan, Chan Chong Ming pula akan mengambil alih tugas jurulatih beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 10:00 PM