Firdaus Hashim


APA saja dilakukan tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh pasti mendapat reaksi daripada peminatnya dengan kali ini bintang Harimau Malaya itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Ia susulan tersebarnya gambar pemain sayap Pahang itu yang menyarung jersi juara EPL sebanyak 20 kali itu ketika sedang mendapatkan rawatan kesihatan.

Ada peminat mengandaikan seolah-olah Sumareh sedang mengikuti ujian kesihatan dan kecergasan di Old Trafford seperti kebiasaan dilalui pemain baharu sebelum menyertai pasukan secara rasmi.

Gelagat peminat di laman sosial itu sememangnya mencuit hati namun ada juga yang berdoa dan berharap 'usikan manja' itu bertukar menjadi realiti sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Bagaimanapun, hala tuju tonggak kelahiran Gambia itu bukanlah ke Eropah sebaliknya dia didakwa bakal menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan.

Perpindahan itu semakin hampir apabila berlaku satu 'interaksi' diantara Sumareh dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaman sosial Instagram di mana ramai melihat itu adalah 'pembayang' berkaitan perpindahan Sumareh ke skuad Harimau Selatan.

Tambahan pula, kontrak tiga tahun Sumareh bersama Tok Gajah akan tamat hujung tahun ini dan perpindahan ini tidak mengejutkan jika berlaku sekalipun kerana bekas rakan sepasukan, Matt Davies juga kini bersama juara Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut sejak 2014-2019 itu.

Apa-apa pun, kita nantikan apakah benar Sumareh akan diumumkan sebagai pemain JDT atau tidak pada hujung tahun ini atau awal musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:59 PM