ALIA (tengah) sandaran utama raih pingat emas. FOTO Mohd Amin Jalil
ALIA (tengah) sandaran utama raih pingat emas. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


PENEMBAK kebangsaan, Alia Husna Budruddin menjadi taruhan utama skuad

menembak Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan untuk meraih pingat emas pada temasya Sukma 2020, yang akan berlangsung di Johor pada Mac tahun depan.

Setiausaha Kehormat PMNS, Lt Komander (B) Mohd Emran Zakaria, berkata Alia Husna, 19, adalah penembak muda berbakat selain memiliki pengalaman di pentas antarabangsa.

Beliau yang juga bekas penembak kebangsaan berkata, atlet berkenaan memiliki rekod yang baik dalam beberapa kejohanan disertainya tahun lalu antaranya merangkul pingat emas dalam Kejohanan Asia Tenggara 2019 (SEASA 2019) di Jakarta pada Ogos selain meraih emas di Sirkit Kebangsaan kedua di Sarawak, pada September tahun lalu.

"Alia Husna dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan prestasi terbaiknya dalam sebarang kejohanan akan datang terutama di Sukma nanti.

"Ini berdasarkan persembahannya yang konsisten dalam beberapa kejohanan sebelum ini walaupun ketika ini atau sejak wabak Covid-19 melanda negara, tiada kejohanan yang dapat disertai sama ada di pentas domestik mahupun antarabangsa.

"Bagaimanapun dengan jarak masa yang ada menjelang Sukma Mac depan, Alia Husna mampu membuat persiapan rapi bersama atlet lain menjelang temasya berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Emran berkata, PMNS menyenaraikan seramai 18 penembak bagi menggalas cabaran pasukan sekali gus merealisasikan sasaran berkenaan.

Menurutnya, selepas sekadar meraih satu pingat emas pada temasya sama dua tahun lalu di Perak, skuad menembak Negeri Sembilan mahu memberikan cabaran lebih bermakna pada edisi kali ini.

Katanya, Negeri Sembilan akan menyertai semua 13 acara yang disenaraikan dengan tumpuan dalam acara air rifle, yang berupaya menyumbang pingat emas atau perak.

"Sehubungan itu, persiapan latihan akan dimulakan selepas Aidilftri ini di Lapang Sasar Mantin Seremban, dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan setiap atlet berada pada tahap prestasi memuaskan.

"Persatuan akan berusaha membiayai elaun latihan atlet dan jurulatih yang berkenaan selepas Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) menghentikan pembayaran elaun itu selama tiga bulan mulai Mei ini.

"Saya berharap segala perancangan itu nanti berjalan lancar kerana atlet perlu mendapatkan latihan yang cukup bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi sesuatu kejohanan besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:20 PM