GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


SKUAD perahu layar SUKMA Negeri Sembilan yakin lapan atlet berpengalaman akan menjayakan misi merangkul sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018, yang akan berlangsung September depan.

Presiden Persatuan Pelayaran Negeri Sembilan (PPNS), Lawrence Yeow berkata, skuad perahu layar Negeri Sembilan akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu Optimis Lelaki dan Perempuan, Optimist Berpasukan, International 420 dan Laser Radial.

Katanya, lapan atlet berkenaan ialah Mohd Aliff Harith Zulazuri, Putera Adry Haqqim Mohd Fuad, Muhammad Ammar Wajdi Abdullah, Putera Adrine Danish Mohd Fuad, Mohd Fakrullah Salleh, Nur Mazlina Masturi, Muhammad Syukri Masturi dan Muhammad Raof Salleh.

"Skuad perahu layar berhasrat untuk bangkit mencipta kejayaan lebih cemerlang pada temasya kali ini selepas kita gagal meraih sebarang pingat pada temasya sama dua tahun lalu di Sarawak berbanding meraih satu emas dan dua perak pada temasya 2014.

"Walaupun sasaran awal hanya satu pingat emas tetapi berkemungkinan kita boleh mencapai lebih baik dari itu selepas mengambil kira prestasi dan kemajuan latihan atlet dalam setiap acara berkenaan.

"Malah, kesemua atlet yang dipilih adalah berpengalaman dalam acara masing-masing dan pernah meraih pencapaian yang membanggakan pada kejohanan tempatan serta terbuka antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara," katanya di Port Dickson, hari ini.

Yeow berkata, antara atlet yang diyakini mampu menjadi penyumbang pingat emas ialah Putera Adrine Danish (Optimist) dan gandingan Putera Adry Haqqim/Muhammad Ammar (International 420).

Beliau berkata, setakat ini program latihan dan persiapan yang diadakan di Kelab Perahu Layar Port Dickson berjalan lancar dan sudah memasuki fasa akhir di bawah bimbingan jurulatih Abd Halim Hassan dan Mohd Sufian Jamil.

Menurutnya, skuad berkenaan juga akan menyertai Kejohanan Perahu Layar Kebangsaan Terbuka Sabah 2018 pada 3 hingga 5 Ogos ini.

"Kesemua atlet terbabit sudah diminta memberikan fokus kepada usaha meningkatkan prestasi masing-masing untuk memastikan sasaran yang kami tetapkan dapat dicapai sekali gus membantu merealisasikan misi kerajaan negeri," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang juga ketua kontinjen, Mohamad Taufek Abd Ghani menetapkan sasaran untuk kontinjen SUKMA Negeri Sembilan meraih 30 pingat emas dan menamatkan saingan di tempat kelima carta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:54 PM