MESYUARAT FIGC 8 Mei ini bakal menjadi penentu sama ada saingan musim ini bersambung atau tidak. FOTO AFP
MESYUARAT FIGC 8 Mei ini bakal menjadi penentu sama ada saingan musim ini bersambung atau tidak. FOTO AFP
AFP

KESEMUA 20 kelab Serie A tetap menyatakan keinginan mereka untuk melengkapkan saingan musim ini selepas wilayah Emilia-Romagna menjadi yang pertama membuka ruang untuk berlatih sekali gus melanggar perintah kerajaan.

Sidang video tergempar kelab-kelab Serie A diadakan sejurus selepas Menteri Sukan Itali Vincenzo Spadafora mengumumkan peluang untuk liga bersambung semakin tipis.

Presiden liga, Paolo Dal Pino menyatakan selepas mesyuarat itu beliau bersetuju untuk berdialog dengan pihak kerajaan selepas mendapat sokongan semua kelab.

Spadafora memberi amaran bahawa kerajaan menamatkan saingan musim ini selepas tertangguh sejak 9 Mac jika Persekutuan Bolasepak Itali (FICGC) gagal meyakinkan mereka berkenaan dengan protokol kesihatan dan keselamatan.

Mesyuarat FIGC 8 Mei ini bakal menjadi penentu sama ada saingan akan bersambung atau tidak.

Sementara itu, wilayah Emilia-Romagna memberi pelepasan buat kelab tempatan pasukan Serie A, Bologna, Parma, SPAL dan Sassuolo, untuk menyambung latihan di pusat sukan bermula 4 Mei ini.

Presiden Emilia-Romagno bersetuju membenarkan atlet profesional berlatih bersendirian , dengan syarat menjaga penjarakkan sosial dan tidak berkumpul beramai-ramai.

Gergasi selatan Napoli juga merancang untuk kembali berlatih selepas cadangan berkenaan aspek keselamatan mereka mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan.

Presiden FIGC Gabriele Gravina sebelum ini berkata, membatalkan musim ini akan membunuh bola sepak Itali, dengan jangkaan kerugian lebih 800 juta euro (RM3.81 bilion) meliputi hak penyiaran, penajaan, tiket dan pemasaran bakal dihadapi.

Itali mencatat 28,000 korban akibat pandemik Covid-19 dan langkah menamatkan musim dilihat sebagai jalan terbaik ketika ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 11:27 AM