NAJMIL Faiz (kanan) mahu Liga M dibatalkan dan mula musim baharu seawal Januari 2021. FOTO NSTP
NAJMIL Faiz (kanan) mahu Liga M dibatalkan dan mula musim baharu seawal Januari 2021. FOTO NSTP
Malik Muhamad


USAH fikir lagi, sebaiknya Liga Malaysia (Liga M) musim ini perlu dibatalkan demi keselamatan semua termasuk pemain serta ribuan penyokong dan mulakan musim baharu seawal Januari 2021.

Ini pandangan yang disuarakan oleh dua kelab penyokong bolasepak Terengganu ketika dunia termasuk negara berdepan dengan wabak pandemik Covid-19 yang boleh menyebabkan kematian.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH), Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu membuat keputusan terbaik memandangkan wabak pandemik Covid-19 itu memerlukan masa untuk benar-benar pulih sepenuhnya.

Lagipun katanya, kementerian kesihatan dan kerajaan sudahpun memaklumkan agar tidak boleh diadakan sebarang aktiviti membabitkan perhimpunan walaupun selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Pandangan kami lebih baik Liga M dibatalkan daripada diteruskan dan mula musim baharu seawal Januari 2021 kerana wabak pandemik ini memerlukan masa untuk negara betul-betul bersih daripada ancaman Covid-19 itu.

"Kita lihat tempoh PKP pun dilanjutkan pihak kerajaan ini menunjukkan negara memerlukan masa dan bagi kami langkah itu adalah tepat sekali demi keselamatan rakyat Malaysia walaupun saya percaya impaknya cukup besar akan ditanggung oleh pihak terlibat jika dibatalkan.

"Berkaitan kontrak pemain biarlah Persatuan Bolasepak Negeri dan kelab serta badan induk bola sepak kebangsaan berbincang secara menang-menang untuk menyelesaikan perkara itu agar tidak ada pihak termasuk pemain dan jurulatih teraniaya," ujarnya.

Pandangan sama disuarakan Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin yang mahukan FAM dan MFL melihat keselamatan pemain dan pegawai serta ribuan penyokong menjadi keutamaan berbanding perkara lain.

"Buat masa sekarang demi kebaikan bersama sebaiknya Liga M dan semua liga yang di anjurkan oleh FAM perlu dibatalkan pada tahun ni bagi memastikan kita dapat terus memberi kerjasama kepada kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Lagipun kementerian kesihatan sudah memaklumkan bahawa sebarang perhimpunan beramai-ramai untuk tahun ini terpaksa dimansuhkan, jadi kalau liga diteruskan tanpa kehadiran penonton atau bermain di stadium kosong, kemeriahan liga itu sendiri tiada serinya lagi.

"Selaku penyokong tegar bola sepak merasakan terlalu sunyi sebab tidak dapat turun ke stadium, tapi apakan daya disebabkan virus Covid-19 ini kami terpaksa akur dengan arahan kerajaan supaya duduk dirumah," ujar Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:43 PM