WINDSOR PAUL JOHN
WINDSOR PAUL JOHN
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Badan induk bola sepak setiap negara tidak diwajibkan mengagihkan bantuan kepada kelab atau pasukan liga yang menghadapi masalah kewangan sebaliknya ia terpulang kepada mereka menggunakannya dengan berhemah demi memulihkan kembali industri sukan itu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Malah, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, tiada garis panduan khusus kepada ahli gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membelanjakan dana terbabit.

Namun, beliau mengingatkan dana itu diberikan demi memulihkan kembali industri bola sepak di negara berkenaan selain menggerakkan kembali aktiviti dan pembangunan yang sebelum ini terpaksa dihentikan akibat pandemik itu.

"Semuanya terpulang kepada ahli gabungan untuk menggunakan dana terbabit seperti yang dirancang mereka demi memulihkan kembali industri sukan berkenaan.

"Hal ini kerana setiap ahli gabungan berdepan cabaran tersendiri dan impak Covid-19 yang dihadapi mereka juga mungkin berbeza. Tiada pengkhususan ataupun garis panduan yang dikeluarkan Fifa mengenai cara dana itu perlu digunakan ahli gabungan nanti. Jadi, terserah kepada kebijaksanaan ahli gabungan untuk merancang apa yang difikirkan terbaik," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan dana bantuan Covid-19 berjumlah AS$1.5 juta (RM6.5 juta) daripada Fifa bukan boleh dibelanjakan sesuka hati termasuk mengagihkan kepada persatuan bola sepak negeri atau kelab seperti diharapkan sesetengah pihak.

Malah, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, pihaknya boleh dikenakan tindakan daripada Fifa jika tidak menggunakan dana berkenaan berdasarkan garis panduan yang sudah ditetapkan mereka.

Beliau berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk pembangunan bola sepak yang terpaksa dihentikan sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman berkata, pihaknya akur dengan ketetapan FAM yang tidak bercadang untuk berkongsi dana itu terutama dalam soal tunggakan gaji seperti mana yang sedang dilalui skuad The Red Warriors.

"Seperti mana yang sudah dinyatakan FAM, mereka takkan bagi dana berkenaan kepada pasukan walaupun sebenarnya kami memang perlukan bantuan. Kita akur dan akan berusaha mencari dana sendiri selepas terkesan teruk dengan masalah hutang dan penangguhan liga (Liga Malaysia) disebabkan oleh Covid-19.

"Tapi kalau dapat sikit, ia memang dapat bantulah. Cuma terpulang kepada budi bicara FAM," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pandangan sama dilontarkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang enggan mendesak untuk memohon bantuan itu kerana memahami FAM juga kekeringan sumber untuk menyiapkan pasukan kebangsaan serta membantu melancarkan saingan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dijangka bersambung Ogos atau September ini.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu, semua pihak terkesan dengan wabak ini termasuk FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 1:00 AM