ATLET bowling Sukma Pahang, Fatin Najihah Azhar mengadakan latihan kecergasan di rumah. FOTO Ihsan Fatin Najihah Azhar
ATLET bowling Sukma Pahang, Fatin Najihah Azhar mengadakan latihan kecergasan di rumah. FOTO Ihsan Fatin Najihah Azhar
Mohd Rafi Mamat


MAJLIS Sukan Pahang (MSP) sentiasa memantau tahap kesihatan serta kecergasan semua atlet Sukan Malaysia (Sukma) bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam sihat dan cergas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurulatih setiap acara sukan juga turut bertanggungjawab menyediakan laporan beserta gambar dan rakaman video atlet mereka mengadakan latihan di rumah.

Pengarahnya Zamri Hassan berkata, pihaknya turut memantau perkembangan semasa atlet program pembangunan dan atlet sekolah sukan yang perlu turut sentiasa cergas sepanjang PKP.

Katanya, tempoh PKP yang panjang ini tidak bermakna semua atlet hanya berehat di rumah sahaja hingga menyebabkan berat badan mereka naik seterusnya tidak cergas disebabkan terlebih makan dan tidur.

Menurutnya, atlet yang tidak cergas berhadapan digugurkan oleh jurulatih mereka kerana kejayaan kontinjen Pahang pada Sukma Johor 2020 akan datang bergantung sepenuhnya pada prestasi atlet.

“Sebelum ini setiap jurulatih juga perlu menyediakan laporan prestasi atlet di bawah kendalian mereka secara berterusan namun sepanjang PKP ini laporan kecergasan lebih diberi keutamaan.

“Atlet perlu menghantar gambar dan video latihan yang mereka lakukan dirumah sebagai penilaian jurulatih, kegagalan berbuat demikian mereka akan dikenakan surat tunjuk sebab,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, harapan MSP ialah prestasi atlet Sukma Pahang tidak terjejas selepas mereka terpaksa berehat di rumah dalam tempuh masa yang panjang, atlet perlu mengekalkan disiplin dengan mengikut arahan jurulatih mereka dengan mengadakan latihan kecergasan.

Zamri berkata, atlet olahraga perlu menjaga pemakanan supaya berat badan mereka tidak naik, ikut jadual permakanan yang disediakan jurulatih sepanjang berada di rumah bersama keluarga yang lebih selesa.

“Saya berpuas hati laporan yang diterima daripada beberapa jurulatih, kesungguhan atlet mengadakan latihan di rumah jelas dapat lihat.Mereka mengadakan pelbagai teknik latihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:10 PM