HARIMAU Malaya perlu berwaspada dengan UAE. FOTO Mohd Yusni Ariffin
HARIMAU Malaya perlu berwaspada dengan UAE. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


PENGURUS skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan beliau dan barisan pasukan negara tidak akan mengambil mudah pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama selepas negara Asia Barat itu memecat jurulatih mereka.

Jelasnya, walaupun aksi kedua-dua pasukan dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 masih jauh yang dijadual berlangsung 8 Oktober depan, namun tindakan UAE menggugurkan Ivan Jovanovic selaku jurulatih sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya skuad The Whites itu untuk berhadapan dengan skuad negara.

Katanya, kem negara mengambil berat akan perkembangan terbaharu pasukan lawan itu dengan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga perlu memikirkan perancangan dan strategi terbaik apabila turun bertandang di Dubai nanti.

“Kita nampak tindakan UAE ini memberi isyarat kepada kita bahawa mereka cukup serius untuk berhadapan dengan pasukan Malaysia ataupun cukup serius untuk mendapat keputusan terbaik dalam baki perlawanan ini termasuk menentang Malaysia.

“Jadi kita harap jurulatih (Cheng Hoe) pun mesti menyediakan pelan-pelan terbaik dengan mengambil langkah-langkah perlu untuk berdepan terutamanya apabila UAE nanti dan menyediakan pasukan terbaik, maknanya kita perlu ambil berat,” katanya ketika dihubungi.

UAE yang kini terdesak memburu kemenangan selepas sekadar menghuni tangga keempat kumpulan dengan enam mata, memecat Jovanovic yang hanya sempat bersama pasukan selama empat bulan apabila dilantik pada Disember lalu.

Lantas kemenangan ke atas Malaysia cukup penting buat UAE untuk memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan G ketika anak buah Cheng Hoe juga turut mengidam tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan di tangga ke dua kumpulan dengan sembilan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 11:16 PM