CHENG Hoe (tiga dari kiri) enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe (tiga dari kiri) enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga mata berdepan Thailand bukan saja penting buat skuad Harimau Malaya, malah ia adalah pertaruhan membabitkan maruah negara yang wajib dipertahankan.

Mana tidaknya, selepas mengharungi dua aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe belum lagi meraih sebarang mata apabila tewas kepada UAE dan Vietnam sebelum ini.

Lantas, sudah pastinya Cheng Hoe enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong sekali gus cuba meraih kemenangan untuk menamatkan kempen negara di tangga ketiga Kumpulan G kelayakan ini.

Jelas Cheng Hoe, beliau mahu pemain beraksi demi maruah negara pada aksi terakhir di Stadium Al Maktoum pada awal pagi Rabu.

"Saya rasa setiap pemain pun sedar kekalahan kita (kepada UAE dan Vietnam) dan kita tahu punca kekalahan kita dan kelemahan kita dalam pasukan, tetapi setiap kali berbincang dengan pasukan dan melakukan post-mortem, perlawanan esok (awal pagi ini) menentukan kita punya maruah untuk kempen kelayakan Piala Dunia.

"Itu sebab saya pun nak pemain memberi sesuatu keputusan yang positif untuk pasukan dan juga peminat-peminat di seluruh negara kerana kita tahu ramai agak kecewa dengan keputusan itu.

"Sebab itulah kita perlu bangkit daripada kekalahan dan juga ingin mendapatkan satu keputusan perlawanan esok (Rabu)," katanya pada sidang media secara maya.

Kemenangan ke atas Thailand cukup penting bagi membolehkan Malaysia berada pada balang teratas dalam undian pusingan ketiga Piala Asia nanti.

Ia susulan selepas kekalahan 1-2 di tangan Vietnam pada Jumaat lalu menyaksikan laluan skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia musnah.

Mengulas lanjut aksi terakhir itu, Cheng Hoe mengakui turut mendapat maklumat tambahan mengenai kekuatan dan kelemahan lawan daripada tiga pemain negara yang beraksi di Liga Thailand.

"Kita ada dapat sedikit info daripada Dominic Tan, Junior Eldstal dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) juga yang bermain di sana.

"Dalam masa sama kami jurulatih juga melakukan kerja rumah untuk analisis kelemahan dan kekuatan pasukan," katanya.

Untuk rekod, ketiga-tiga pemain negara itu beraksi dalam Liga Satu Thailand dengan Dominic beraksi buat pasukan Police Tero, Junior bersama Chonburi FC serta Norshahrul adalah bekas penyerang BG Pathum United pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:16 PM