HADADI adalah di antara atlet pilihan untuk meraih emas di Olimpik Tokyo sebelum temasya itu ditangguhkan. FOTO REUTERS
HADADI adalah di antara atlet pilihan untuk meraih emas di Olimpik Tokyo sebelum temasya itu ditangguhkan. FOTO REUTERS
Reuters

EHSAN Hadadi yang menjadi atlet pertama olahraga Iran meraih pingat di Olimpik diuji positif Convid-19, lapor Persekutuan Olahraga Dunia (WA).

Hadadi, juara lempar cakera Asia yang menjadi wira negaranya selepas meraih perak di Olimpik 2012 London, berpangkalan di Amerika Syarikat namun didapati dijangkiti ketika berada di Tehran.

“Kami menerima menerima khabar atlet lempar cakera Iran, Ehsan Hadadi diuji positif Covid-19. Kami mengucapkan semoga cepat sembuh,” jelas WA dalam laman sosial, Twitter.

Agensi berita Tasnim melaporkan doktor Persekutuan Olahraga Iran, Ashkan Ordibehesht berkata, atlet berusia 35 tahun itu dikuarantin selepas disahkan dijangkiti virus berkenaan.

“Proses pemulihan berlangsung dengan baik,” kata doktor berkenaan.

Hadadi, juara Kejohanan Asia enam kali dan pemegang rekod Asia, adalah di antara atlet pilihan untuk meraih emas di Olimpik Tokyo sebelum temasya itu ditangguhkan.

Apabila Hadadi meraih pingat Olimpik, dia menjadi atlet Iran pertama menaiki podium selepas sukan lain seperti gusti, angkat berat dan taekwondo.

Dia juga menjadi satu-satunya atlet negara berkenaan meraih pingat di kejohanan dunia pada 2011.

Iran adalah di antara negara yang teruk menerima kesan akibat Covid-19.

Kematian yang dicatatkan di negara berkenaan seramai 2,517 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 1:50 AM