AZEEM hanya mencatat masa 10.25s dalam final sebentar tadi. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
AZEEM hanya mencatat masa 10.25s dalam final sebentar tadi. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk menamatkan perlumbaan acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

Azeem yang berlari di lorong ketujuh menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10.25 saat (s) yang mana ia sedikit jauh dengan rekod kebangsaan dipegangnya 10.09s.

Perlumbaan akhir acara 100m lelaki itu dimenangi wakil Jepun, Hiroki Yanagita dengan catatan 10.02s yang juga merupakan rekod peribadi terbaik pelari itu.

Pingat perak dimenangi atlet Arab Saudi, Abdullah Abkar Mohammed dengan catatan masa 10.19s manakala gangsa diraih wakil Iran, Hassan Taftian (10.23s).

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang meraih perak ketika tahun 1998 di Fukuoka, Jepun.

Sementara itu, dalam acara lempar cakera menyaksikan wakil negara, Queenie Ting mencatatkan lemparan terbaik sejauh 49.30 meter (m) untuk berada di kedudukan keenam keseluruhan manakala seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam acara itu, Nur Atiqah Sufiah berada di kedudukan terakhir dengan catatan 43.55m.

Pencapaian terbaik Malaysia di Kejohanan Asia adalah pada tahun 2007 apabila meraih dua emas iaitu menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) dengan pingat terakhir kontinjen adalah menerusi jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin di Bhubaneswar, India pada 2017 yang meraih perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 8:12 PM