JOSHUA jalani latihan di Itali.
JOSHUA jalani latihan di Itali.
BERNAMA

ATLET lawan pedang negara, Joshua Koh I Jie akhirnya boleh menarik nafas lega selepas diuji negatif Covid-19 di sebuah hospital swasta.

Atlet lawan pedang kategori Epee berusia 29 tahun yang dalam usaha memburu impian ke Sukan Olimpik baharu sahaja kembali ke Malaysia pada 15 Mac selepas menjalani sesi latihan di Itali dan menyertai satu kejohanan di Hungary dua minggu lepas.

Walaupun Westend Epee Grand Prix dari 6-8 Mac dilangsungkan secara tertutup dengan langkah berjaga-jaga di Budapest, tiga atlet lawan pedang dari China dan tiga lagi dari Korea Selatan kemudiannya diuji positif virus COVID-19.

“Saya rasa sangat lega diuji negatif selepas membuat panggilan ke hospital hari ini (semalam). Saya agak yakin akan terima keputusan negatif kerana saya tidak alami sebarang gejala dan kami melaksanakan jarakkan sosial sepanjang kejohanan.

“Selalunya kami akan berjabat tangan selepas perlawanan, tapi tidak kali ini. Sepanjang tinggal di Itali, kawasan saya tinggal di Pisa sangat tenang dan aman, bukan kawasan berisiko tinggi ketika itu,” katanya.

Ditanya mengenai impian Olimpiknya, pemenang pingat emas Sukan Sea Jakarta 2011 itu berkata dia perlu menunggu kemas kini terbaharu daripada pihak berkuasa berkaitan, sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

Joshua terdahulu menjalani latihan di Itali sebagai persediaan untuk kelayakan Zon Asia/Oceania di Korea Selatan yang dijadualkan dari 15-16 April ini, dengan bantuan dana sumbangan orang ramai, namun dengan krisis COVID-19, penangguhan sesi kelayakan dan Sukan Olimpik nampaknya tidak dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 8:19 PM