ATLET lawan pedang, Yiwen Sun memungut pingat emas ketiga buat China pada hari pertama Tokyo 2020. FOTO EPA
ATLET lawan pedang, Yiwen Sun memungut pingat emas ketiga buat China pada hari pertama Tokyo 2020. FOTO EPA
AFP

Tokyo: China memungut tiga pingat emas pada hari pertama Tokyo 2020, hari ini, sambil pelumba basikal, Richard Carapaz muncul atlet kedua menyumbang emas buat Ecuador apabila memenangi acara lebuh raya.

China merangkul emas itu dalam acara menembak, angkat berat dan lawan pedang.

Yang Qian memungut emas pertama menerusi acara menembak 10 meter air rifle mengatasi penembak Russia, Anastasiia Galashina menerusi tembakan terakhir.

Galashina dilihat akan menang acara itu sebelum tembakan terakhir, tetapi sekadar melakukan 8.9 untuk membolehkan Yang merangkul emas.

"Hari ini adalah ulang tahun ke-100 Parti Komunis China," katanya. "Saya gembira kerana pingat emas ini adalah hadiah untuk negara saya. Saya sangat bangga."

Selepas itu, Hou Zhihui memungut pingat emas angkat berat kategori 49k kilogram (kg) wanita selepas mencatat rekod Olimpik dengan berat keseluruhan 210kg.

Atlet lawan pedang, Sun Yiwen menghadiahkan emas ketiga buat China apabila menang acara wanita epee.

Sementara itu, dalam acara lumba basikal lebuh raya, juara Giro d'Italia 2019, Carapaz menewaskan pelumba ternama lain diketuai pelumba Slovenia yang baru saja menjuarai Tour de France (TdF), Tadej Pogacar.

Ia adalah pingat emas kedua Ecuador dalam sejarah Sukan Olimpik selepas Jefferson Perez menang acara 50km jalan kaki di Olimpik Atlanta 1996.

Jepun pula mendapat pingat emas pertama di Tokyo 2020 menerusi atlet judo, Naohisa Takato yang menang final 60kg lelaki dengan menewaskan peserta Taiwan, Yang Yung-wei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 10:08 PM