(DARI kiri) Joshua bersama jurulatih Rao Bin, pengurus pasukan lawan pedang Moira Tan dan Natasha.
(DARI kiri) Joshua bersama jurulatih Rao Bin, pengurus pasukan lawan pedang Moira Tan dan Natasha.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Joshua Koh mahu membuktikan keputusan Malaysia menyenaraikan semula acara lawan pedang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah tepat serta mampu membantu pencapaian kontinjen negara pada Ogos nanti.

Jelasnya, penyenaraian acara berkenaan menjadi motivasi tambahan kepada atlet lawan pedang negara untuk menyumbang pingat di gelanggang sendiri selepas sukan berkenaan pada awalnya digugurkan daripada temasya dwitahunan itu.

Atlet berusia 27 tahun itu meraih emas Sukan SEA 2011 Indonesia menerusi acara epee individu.

“Sukan SEA 2017 adalah penampilan keempat saya dengan pencapaian terbaik pada 2011. Saya menaruh keyakinan meraih emas kerana berpeluang beraksi di tempat sendiri.

“Saya melihat Vietnam dan Singapura bakal menjadi pencabar utama. Mereka mendapat latihan di luar negara seperti skuad trek berbasikal (berlatih di Melbourne),” katanya pada sidang media semalam.

Bagaimanapun Joshua bersama rakan sepasukan Natasha Ezzra Abu Bakar akan berlatih di Korea Selatan bagi memantapkan taktik dan latihan dengan lawan lebih baik sebelum menyertai Kejohanan Asia di Hong Kong pada pertengahan Julai nanti.

“Selepas persembahan mengecewakan di Sukan SEA Singapura, saya fikir sudah banyak mempamerkan peningkatan untuk menghadapi temasya kali ini.

“Harapan dan tekanan sentiasa ada namun saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengawalnya, anda tidak boleh membiarkan tekanan menguasai diri,” tambahnya.

Malaysia meletakkan sasaran memenangi sebutir daripada enam emas yang ditawarkan pada Sukan SEA nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:35 AM