REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Syazwan Msar


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak mahu isu rasis menjejaskan kualiti bola sepak negara sekali gus mahu pihak berkaitan menyelesaikan perkara terbabit dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementerian sudah berhubung dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum isu rasis yang menyerang pengendali Selangor B Sathinanthan namun tidak mahu ‘membalas’ tindakan itu seperti yang dilakukan netizen terbabit di media sosial.

“Jika dilihat pun dalam statut Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) tak boleh ada isu rasis dan tidak akan toleransi dengan perkara terbabit. Saya dimaklumkan MFL dan FAM akan menyiasat seterusnya mengambil tindakan terhadap perkara terbabit dengan segera,” katanya, di sini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan saingan Liga Super baharu saja bermula, namun kem Selangor FA boleh dikatakan agak tegang apabila isu rasis daripada penyokong mereka mengganggu fokus pemain untuk beraksi lebih baik ketika di padang.

Malah, isu berkenaan yang timbul menyebabkan pengendali skuad Gergasi Merah itu mengamuk ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, apabila beliau tidak menjangkakan perkara terbabit boleh berlaku ketika Selangor baharu saja mengharungi dua saingan liga.

Sathia berkata, isu rasis berkenaan yang timbul berikutan meletakkan pemain berketurunan India adalah berdasarkan kebolehan dan kemampuan mereka untuk membantu pasukan bukannya ‘pilih bulu’ hingga menidakkan individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:01 AM