SATHIANATHAN mahu tindakan undang-undang diambil terhadap individu berkenaan.
SATHIANATHAN mahu tindakan undang-undang diambil terhadap individu berkenaan.
Syazwan Msar


KERAP dihina dan diugut dalam media sosial menyebabkan pengendali Selangor, B Sathianathan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pagi semalam untuk tindakan lanjut.

Laporan terbabit adalah susulan daripada tindakan netizen yang terus menghina dan mengeluarkan perkataan rasis terhadap beliau sejak awal musim lalu.

Sathia ketika dihubungi Arena Metro berkata, laporan terbabit juga bagi memastikan keselamatan beliau dan ahli keluarga terjamin seterusnya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut.

“Hinaan dan cacian termasuk serangan rasis serta mengaitkan saya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah perkara yang tidak boleh diterima.

“Selama ini jika mereka mengkritik secara berhemah tiada masalah malah ia adalah perkara yang perlu saya terima sebagai seorang jurulatih.

“Namun, serangan kali ini buat saya hilang sabar dan perlu ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu berkenaan yang melampau batas,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan saingan Liga Super baru saja bermula, namun kem Selangor FA boleh dikatakan tegang apabila isu rasis daripada penyokong mereka mengganggu fokus pemain untuk beraksi lebih baik ketika di padang.

Malah, isu berkenaan yang timbul menyebabkan pengendali skuad Gergasi Merah itu mengamuk ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Beliau tidak menjangkakan perkara terbabit boleh berlaku ketika Selangor baru saja mengharungi dua saingan liga. Isu rasis berkenaan timbul kerana Sathia didakwa ‘memilih bulu’ dengan meletakkan pemain berketurunan India dalam kesebelasan utama, sedangkan beliau menafikan tuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:00 AM