LEE Tuck gesa rakan sepasukan fokus sepenuhnya aksi menentang Kedah.
LEE Tuck gesa rakan sepasukan fokus sepenuhnya aksi menentang Kedah.
Malik Muhamad


KAPTEN Terengganu FC (TFC), Lee Tuck tidak mahu memikirkan reputasi Kedah sebaliknya pemain yang digelar 'Rooney Ganu' itu melaungkan kebangkitan biarpun sedar bukannya mudah untuk menjinakkan skuad lawan itu.

Pemain berdarah campuran Malaysia-England itu menyifatkan skuadnya bagaikan 'harimau terluka' selepas dimalukan Perak pada aksi pertama di laman sendiri Sabtu lalu dan percaya rakan sepasukan mampu memperagakan aksi mantap untuk mematahkan sayap Helang Merah meskipun beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok.

Bagi memastikan impian itu menjadi realiti, Tuck menggesa rakan sepasukan melupakan episod malang itu sebaliknya cepat menguasai permainan selain menjadikan perlawanan pertama itu sebagai pengajaran berguna.

Selain itu, pemain tengah itu turut menuntut rakan sepasukannya cepat belajar ilmu bola sepak dan bijak melakukan hantaran bagi mencipta lebih banyak peluang menghasilkan jaringan.

Baginya jentera lawan diketuai bekas penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche selain gandingannya, Kpah Sherman begitu bahaya dan sudah tentu bakal memberi ancaman terutama dalam kawasan penalti.

Namun menurut Tuck, jurulatihnya Nafuzi Zain sudah merangka strategi ampuh untuk berdepan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

"Saya ada menyaksikan perlawanan Kedah bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Piala Sumbangsih Jumaat lalu, mereka bermain begitu baik menentang juara itu.

"Situasi ini sudah pasti sukar buat kami, malah kita tahu kekuatan Tchetche menjaringkan gol ketika bersama TFC sebelum ini, jadi kita perlu berhati-hati dengan pemain itu dan seluruh pemain Kedah.

"Namun dalam bola sepak, apapun boleh berlaku, musim lalu TFC pernah menundukkan pasukan itu di laman mereka, justeru kami pasti akan berikan aksi 100 peratus dalam misi mengintai mata pertama musim ini.

ÔÇťApapun kita tunggu esok, saya berkeyakinan pemain akan bergandingan bahu dan mampu bangkit dengan memberikan aksi terbaik bagi memenuhi keinginan penyokong yang sudah pasti dahagakan kemenangan," kata Tuck.

Sementara itu pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahaya menuntut pemainnya melupakan kekalahan pada aksi pertama sebaliknya lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah dalam misi melakar kemenangan pertama musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 12:55 PM