Oleh Malik Muhamad


BEKAS penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche hampir pasti menyarung jersi skuad Kedah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Berita itu semakin bertiup kencang lebih-lebih lagi selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sah tidak menyambung kontrak dua penyerangnya, Jonatan Bauman dan Fernando Rodriguez.

Menurut sumber, pemain berusia 32 tahun kelahiran Ivory Coast itu sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Kedah dan hasilnya positif.

“Ya, pemain itu (Tchetche) kini hampir pasti menjadi milik pasukan Helang Merah, kita tunggu dan lihat pengumuman rasmi daripada persatuan itu (KFA),” kata sumber berkenaan.

Penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu itu sebelum ini mengejutkan kem pasukan Terengganu FC (TFC) apabila bertindak menolak tawaran daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Difahamkan bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman yang mula menyarung jersi TFC sejak pertengahan 2017 menolak tawaran PBSNT berikutan faktor tawaran gaji daripada badan induk bola sepak negeri itu.

Musim ini anak bongsu daripada enam beradik itu adalah pemain paling mahal dalam skuad Penyu, namun langkah penjimatan yang diumumkan Presiden PBSNT bulan lalu mungkin ada kaitan dengan perkara itu.

Sementara itu, Tchetche ketika diajukan mengenai penghijrahannya dengan pasukan lain enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya lebih gemar mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Saya tidak lagi bersama TFC, tetapi saya belum boleh maklum pasukan yang bakal diwakili musim depan, nanti saya akan maklumkan kemudian selepas semuanya selesai,” kata Tchetche.

TCHETCHE (dua dari kanan) tidak lagi bersama TFC.
TCHETCHE (dua dari kanan) tidak lagi bersama TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:00 AM