Pemain Terengganu FC (TFC), Tchetche Kipre (kiri) menjalani sesi latihan menjelang perlawanan Liga Super bagi musim 2019 di Padang Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC (TFC), Tchetche Kipre (kiri) menjalani sesi latihan menjelang perlawanan Liga Super bagi musim 2019 di Padang Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche tekad mengulangi ketajamannya di depan gawang yang menghasilkan 24 jaringan untuk pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim lalu. 

Menjelang pertemuan pertama dengan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok, pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu melaungkan keyakinan merakam kemenangan selain mahukan persembahan lebih dinamik dan menyerlah musim ini.

“Bagi mencapai misi pertama malam esok bertemu PKNS, kami sudah melakukan persiapan rapi sejak dua bulan lalu untuk mencatat kemenangan selain sasaran menjulang sekurang-kurangnya satu piala dan layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia musim depan,” kata Tchetche.

"Kami mahu bermula dengan langkah kanan pada aksi pembuka tirai itu dan kemenangan perlu dicapai bukan sahaja untuk peminat tegar TFC di laman sendiri, malah sebagai permulaan baik untuk mencapai sasaran ditetapkan pengurusan." 

Kapten TFC itu berkata, kehadiran Sanjar Shaakhmedov yang juga pemain terbaik Liga Uzbekistan musim lalu dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama pemain paling popular Liga M musim lalu, Lee Tuck untuk mengemudi jentera tengah pasukan. 

“Meskipun kehilangan beberapa pemain termasuk J Partiban, Latiff Suhaimi dan Mohd Faiz Nasir yang menjadi antara penggerak serangan pasukan musim lalu, kemasukan 11 muka baharu yang berkualiti dalam skuad TFC musim ini mampu mengganti kekosongan yang ditinggalkan tiga pemain itu.

"Saya yakin dengan bantuan rakan-rakan sepasukan yang begitu bersemangat dan terserlah apatah lagi dibantu Sanjar (Shaakhmedov) dan Tuck serta pemain lain, ia sudah pasti lebih banyak gol mampu dijaringkan pada musim ini.

"Bagaimanapun bukan gelaran penjaring terbanyak yang terlalu diburu, apa yang penting setiap kali beraksi pasukan kami mampu mencatat kemenangan sekali gus mampu menjulang seberapa banyak trofi musim ini.

“Kami juga berharap penyokong setia skuad kami dapat memenuhi stadium kerana sorakan mereka ditagih dalam setiap perlawanan sekali gus menyuntik semangat kami beraksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 6:09 PM