PASUKAN Korea muncul juara  Piala Sultan Azlan Shah  edisi ke-28 tahun lalu.
PASUKAN Korea muncul juara Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 tahun lalu.
Syazwan Msar


KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2020 yang sepatutnya berlangsung bulan depan terpaksa ditunda kepada 24 September hingga 3 Oktober ekoran penularan wabak Covid-19.

Perkara terbabit disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff yang melihat penjadualan semula itu penting bagi memastikan keselamatan pemain, pegawai dan semua pihak terbabit terjamin.

Beliau berkata, penularan wabak terbabit yang pantas tersebar di Korea Selatan dan Jepun turut menyebabkan kejohanan terbabit perlu ditunda.

“Pembatalan itu juga tidak menjejaskan persiapan Kanada, Australia dan Jepun untuk menghadapi kejohanan Sukan Olimpik kerana paling penting adalah faktor keselamatan serta kesihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pada tahun lalu, kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke 28 disertai enam pasukan dan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Sebagai rekod, kejohanan terbabit sudah dianjurkan sejak 1983 namun Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik di tempat kedua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 10:28 PM