SUBAHAN (tengah) mengakui berdasarkan situasi semasa, penganjuran kejohanan di Perak agak ‘samar’ untuk dilaksanakan pada tahun ini. FOTO Ihsan MHC
SUBAHAN (tengah) mengakui berdasarkan situasi semasa, penganjuran kejohanan di Perak agak ‘samar’ untuk dilaksanakan pada tahun ini. FOTO Ihsan MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hoki Piala Sultan Azlan Shah jelas belum ada 'rezeki' untuk dianjurkan pada tahun ini apabila kejohanan terbabit sekali lagi dibatalkan berdasarkan situasi semasa peningkatan kes Covid-19 semakin membimbangkan.

Perkara terbabit disahkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal apabila memaklumkan kejohanan yang berlangsung sejak 1983 terpaksa dibatalkan selepas diperkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa, penganjuran kejohanan di Perak agak 'samar' untuk dilaksanakan pada tahun ini dengan peluang yang ada hanyalah pada hujung tahun namun segala-galanya bergantung kepada situasi semasa terutama membabitkan kes Covid-19.

Katanya, MHC bersama Persatuan Hoki Perak akan melihat tarikh yang bersesuaian untuk penganjuran kejohanan terbabit namun tidak boleh memberi kata putus bahawa saingan itu tetap berlangsung pada tahun depan.

"Kami tengok keadaan semasa jika bertambah baik mungkin pada Disember depan boleh dipertimbangkan untuk menganjurkan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

"Tahun lalu, kejohanan ini terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19 yang agak membimbangkan selain mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya, di sini.

Mengikut rekod, penganjuran kejohanan yang berlangsung setiap tahun membabitkan pasukan jemputan pada tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Situasi terbabit menyaksikan kalendar hoki tahun lalu agak sendu selain menyaksikan beberapa kejohanan lain turut dibatalkan.

Sementara itu, Subahan berkata, penganjuran kejohanan terbabit pada masa akan datang kemungkinan agak sukar untuk mengikuti kaedah gelembung sukan berdasarkan kos yang agak tinggi selain perlu mematuhi beberapa garis panduan ketat.

"Seperti sedia maklum penganjuran Piala Sultan Azlan Shah adalah di bawah kelolaan Persatuan Hoki Perak dan MHC hanya membantu membabitkan beberapa perkara saja.

"Kami cuba untuk menganjurkannya menerusi gelembung sukan seperti saingan liga hoki dan perlawanan persahabatan baru-baru ini namun sebenarnya agak sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:12 PM