SKUAD hoki negara berjaya menewaskan Mesir 4-1. FOTO FB Arena Seladang
SKUAD hoki negara berjaya menewaskan Mesir 4-1. FOTO FB Arena Seladang
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan hoki negara akhirnya memperoleh kemenangan pertama apabila menundukkan Mesir 4-1 di kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Ipoh, Perak itu menyaksikan barisan anak buah Arul Selvaraj tampil lebih menyakinkan dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke 11 menerusi Shello Silverius.

Namun, kegembiraan tuan rumah tidak berpanjangan apabila Mamdouh Mahmoud Mahmoud Aboutaleb berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit 27 untuk kedudukan 1-1.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, skuad negara memperkemaskan barisan serangan sebelum Muhammad Firhan Ashaari meletakkan Malaysia 2-1 pada minit 41.

Pasukan negara terus dahagakan gol apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan bagi menambah jaringan buat pasukan.

Ternyata, skuad kebangsaan sukar digugat apabila terus melebarkan jaringan 3-1 pada minit 49 menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Shello sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring gol apabila bijak menyudahkan hantaran untuk memastikan Malaysia menang bergaya 4-1 menumpaskan Mesir.

Sementara itu, Arul berkata, disiplin yang tinggi diterapkan anak buahnya sepanjang tempoh perlawanan membolehkan Malaysia menundukkan Mesir dengan jaringan besar.

"Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan namun perlu ada beberapa perkara perlu diperbaiki untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

"Pemain beraksi dengan cukup konsisten terutama pada quarter ke empat apabila mereka terus memburu jaringan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia," katanya.

Kemenangan itu sekali gus melonjak Malaysia dikedudukan ketiga dengan empat mata dibelakang Jepun (tujuh mata) manakala Korea Selatan kekal ditempat pertama(10 mata).

Malaysia akan turun menentang Afrika Selatan petang esok berikutan pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini ditunda akibat hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:31 PM