SUBAHAN mengesahkan perlawanan Piala Asia hoki dalam Dewan yang berlangsung Oktober nanti turut disertai wakil negara. FOTO NSTP
SUBAHAN mengesahkan perlawanan Piala Asia hoki dalam Dewan yang berlangsung Oktober nanti turut disertai wakil negara. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persiapan skuad kebangsaan yang sedikit terganggu akibat pandemik Covid-19 tidak menghalang untuk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menghantar wakil untuk menyertai kejohanan jemputan di Valencia, Sepanyol September depan.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya akan melakukan persediaan rapi untuk menyertai kejohanan berkenaan sekali gus memastikan barisan pemain negara terus mendapatkan momentum selepas saingan Piala Sultan Azlan Shah dibatalkan.

Malah, beliau turut mengesahkan perlawanan Piala Asia hoki dalam Dewan yang berlangsung Oktober nanti turut disertai wakil negara sekali gus memberi bayangan pada musim ini wakil negara tidak akan berehat panjang seperti tahun lalu.

"Pada mesyuarat semalam kita juga membincangkan mengenai perlawanan hoki di Sepanyol dan kita menerima jemputan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Kita bersetuju untuk menyertai kejohanan terbabit dan akan melakukan persiapan bagi memastikan skuad negara lebih bersedia nanti.

"Pada masa sama, tarikh baru iaitu pada Oktober depan akan diadakan kejohanan dalam dewan(Piala Asia) dan kita juga akan menghantar wakil," katanya.

Terdahulu, kalendar kejohanan untuk skuad hoki negara boleh dikatakan agak suram apabila Piala Sultan Azlan Shah dibatalkan berdasarkan situasi semasa peningkatan kes Covid-19 semakin membimbangkan.

Subahan Kamal berkata, kejohanan yang berlangsung sejak 1983 terpaksa dibatalkan selepas diperkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, penganjuran kejohanan di Perak agak 'samar' untuk dilaksanakan pada tahun ini dengan peluang yang ada hanyalah pada hujung tahun namun segala-galanya bergantung kepada situasi semasa terutama membabitkan kes Covid-19.

Mengikut rekod, skuad hoki lelaki negara muncul juara Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:36 PM