AZIZULHASNI meraikan kejayaannya meraih gangsa dalam acara pecut 200m. FOTO AFP
AZIZULHASNI meraikan kejayaannya meraih gangsa dalam acara pecut 200m. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


PELUMBA sensasi negara, Azizulhasni Awang menghadiahkan satu lagi pingat buat negara selepas meraih gangsa dalam acara pecut 200 meter (m) individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman, hari ini.

Pada aksi penentuan pingat gangsa itu, Azizul atau lebih senang disapa Jijoe, menewaskan pelumba Poland, Mateusz Rudyk 2-0.

Pingat emas dimenangi Harrie Lavreysen dari Belanda selepas menewaskan rakan senegara Jeffrey Hoogland.

Kejayaan terbaru itu menyaksikan Azizul meraihkan dua pingat gangsa selepas turut menduduki tempat ketiga dalam acara keirin sebelum ini.

Azizulhasni atau dikenali dengan The Pocketrocketman menjadi prospek utama untuk membutirkan kilauan emas di Olimpik Tokyo selepas ketiadaan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, tahun lalu.

Gangsa itu adalah pingat ketujuh Azizulhasni di Kejohanan Dunia dan pernah menghadiahkan perak dalam acara pecut pada 2009 di Kejohanan Dunia, Pruszkow, Poland.

Pemenang pingat gangsa keirin di Olimpik Rio itu sebelum ini pernah meraih satu emas (keirin) dua perak (keirin dan pecut) dan dua gangsa (keirin) di kejohanan dunia.

Terdahulu pada aksi kelayakan, Azizulhasni memperbaharui rekod kebangsaan dan Asia apabila mencatatkan masa 9.548s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 11:46 PM