Aksi Azizul (tengah) dalam acara keirin di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi Azizul (tengah) dalam acara keirin di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pelumba berbasikal negara Josiah Ng, percaya Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada dalam prestasi terbaik untuk memenangi emas Olimpik Tokyo 2020 di Veledrom Izu di Shizuoka, Jepun, semalam.

Namun demikian, agak malang untuk pelumba berusia 33 tahun dari Dungun itu tersekat dalam kumpulan dan tidak dapat mengejar Jason Kenny dari Great Britain yang bijak untuk memanfaatkan taktik 'senko' (pecutan awal), dengan memecut awal untuk memenangi perlumbaan itu.

"Azizul boleh menang emas, beliau berkeupayaan penuh ketika perlumbaan, namun agak malang bagi kita. Kenny amat menakjubkan, ia bukan satu taktik yang mudah, tetapi dia telah membuktikan yang dia seorang yang terbaik, seorang legenda sebenar," katanya.

Pelumba Australia, Matthew Glaetzer yang dilihat tidak berusaha untuk mengejar pemecahan sendirian pelumba Britain itu dan secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan pingat emas, dianggap sebagai 'jahat' dan menjadi mangsa kepada kecaman netizen yang menyerang akaun sosial medianya.

Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat perak yang dimenangi dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO EPA
Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat perak yang dimenangi dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO EPA

Bagaimanapun, Josiah yang bertanding dalam tiga Olimpik bermula di Olimpik Athens 2004, mempunyai pandangannya tersendiri terhadap bekas pencabarnya Matthew.

"Matthew adalah seorang yang baik, tetapi bukan seorang yang bijak dalam perlumbaan. Saya tidak rasa ia satu taktik yang telah dirancangkan, ia mungkin hanya berlaku sewaktu perlumbaan berlangsung," kata Josiah mengenai Matthew yang merupakan bekas juara Dunia dan Sukan Komanwel.

"Beliau mungkin mempunyai sebabnya yang tersendiri, beliau pulih dari kanser (thyroid) (telah dikesan pada Oktober 2019 dan menjalani pembedahan) sebelum berlumba di Olimpik.

Malah, jurulatihnya Nicholas Flyger (Jurulatih Kanan Trek Kebangsaan Australia) merupakan bekas kakitangan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Selepas kejayaan di Olimpik Tokyo semalam, Kenny menjadi pelumba berbasikal Britain paling banyak memenangi pingat di Olimpik dengan tujuh pingat emas, lebih satu daripada bekas pakar keirin Sir Chris Hoy.

Namun demikian Azizul yang lebih dikenali sebagai 'Pocket Rocketman' dianggap sebagai wira dengan usahanya sehingga ke kayuhan yang terakhir untuk mengejar Kenny dan berjaya mengalahkan juara dunia Harrie Lavewysen dari Belanda untuk memenangi pingat perak.

Walaupun gagal memenangi emas, Azizul menjadi pelumba berbasikal pertama negara memenangi pingat perak Olimpik, selepas mencatat sejarah atlet Malaysia memenangi pingat Olimpik pertama dalam acara berbasikal, selepas memenangi gangsa di Rio 2016.

Ditanya jika Azizulhasni mampu mencapai impiannya untuk memenangi emas di Paris 2024, Josiah yang juga bekas jurulatih Thailand berkata, masa hadapan sukar diramal kerana apa juga boleh terjadi dalam tempoh tiga tahun.

"Perubahan di Olimpik boleh berlaku dengan cepat, seorang juara pada satu edisi mungkin tidak layak untuk edisi seterusnya. Tetapi mengenali Azizul, beliau seorang yang amat berdisiplin, amat menjaga kesihatan dan kecergasannya, jadi beliau mungkin masih mampu untuk bertanding di Paris.

"Berdasarkan data, prestasinya sentiasa meningkat sejak penampilan pertamanya di Olimpik (dalam keirin). Beliau menduduki tempat ke-10 di Beijing 2008, meningkat keenam di London 2012, gangsa di Rio 2016 dan kini perak di Tokyo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:52 PM