JDT bakal menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.
JDT bakal menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.
Firdaus Hashim


JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mampu menarik nafas lega apabila mendapat tempoh rehat lebih panjang sebelum turun dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.

Ia susulan keputusan mesyuarat kecemasan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berlangsung kelmarin yang memutuskan untuk menunda semua aksi kelab dari China dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) susulan penularan wabak coronavirus baharu.

JDT yang berada dalam Kumpulan G bersama wakil China, Guangzhou Evergrande FC sepatutnya dijadualkan bertembung pada 19 Februari ini di Johor Bharu.

Bagaimanapun, hasil daripada keputusan terbaharu itu, pertemuan kedua-dua pasukan tidak akan dilangsungkan dan ditangguh kepada April dan Mei depan.

Namun, aksi pertama kempen ACL bertemu kelab Jepun, Vissel Kobe tetap dijalankan pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe serta wakil Korea Selatan, Suwon Bluewings, 3 Mac depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John menjelaskan langkah diambil daripada perbincangan bersama itu bagi memastikan semua keselamatan pemain, pegawai pasukan dan penonton terjamin.

“Kami turut merasai kesedihan dengan penularan wabak ini dan kami cuba mencari jalan terbaik bagi memastikan ia tidak terus merebak melalui sukan. Paling penting adalah tahap keselamatan semua pihak.

“Kami juga menerima hakikat coronavirus ini adalah masalah yang jauh lebih besar daripada bola sepak dan kami berharap semua pihak yang terjejas kembali sihat dan pulih dengan cepat,” katanya.

Skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora terus melakar sejarah untuk bersaing buat musim kedua berturut-turut dalam saingan ACL musim ini selepas menjuarai Liga Super musim lalu yang menyediakan tiket automatik ke saingan tertinggi kelab Asia itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:10 AM