BINTANG Vissel Kobe, Andres Iniesta melepasi kawalan pemain JDT di Stadium Park Misaki, Februari lalu.
BINTANG Vissel Kobe, Andres Iniesta melepasi kawalan pemain JDT di Stadium Park Misaki, Februari lalu.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) akhirnya terhenti secara rasmi apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggugurkan pasukan itu dalam jadual perlawanan pada minggu depan.

Ini bermakna, juara tujuh kali Liga Super secara rasmi tidak akan membawa nama negara ke pentas kejohanan terbabit yang akan bermula 19 November ini.

Menerusi kenyataan media AFC sebentar tadi memaklumkan bahawa JDT tidak dapat menyertai kejohanan berkenaan berikutan penutupan pintu sempadan oleh kerajaan bagi mengelak penularan Covid-19.

''Menerusi Artikel 6.1 dan 6.2.1 Peraturan Pertandingan ACL, semua perlawanan JDT dianggap batal. Untuk mengelakkan keraguan, semua mata dan gol dalam perlawanan itu tidak akan dikira ketika menentukan kedudukan akhir di peringkat kumpulan. Berikutan itu, hanya tiga kelab yang akan menyertai Kumpulan G ACL 2020,'' katanya.

Sebelum itu, JDT terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada pusingan zon timur ACL dari 18 November hingga 13 Disember depan di Doha, Qatar apabila kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polisi berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua pihak sebelum ini dan turut tertakluk kepada pasukan bola sepak di negara ini.

Mengikut rekod, ACL Zon Timur akan disambung semula dari peringkat kumpulan dan berterusan hingga ke pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir dengan final ACL pada 19 Disember depan.

JDT kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dan masih berbaki empat perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 November, menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (25 November), melawan Vissel Kobe, Jepun (1 Disember) dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande tanggal 4 Disember.

JDT sudah mengharungi dua perlawanan dengan tewas kepada Vissel Kobe 1-5 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri, 3 Mac lalu.

Semua perlawanan ACL 2020 pada peringkat kalah mati mulai pusingan kedua, akan dimainkan secara satu pusingan sahaja. Begitu juga perlawanan akhir yang dijadualkan di rantau Asia Barat, tidak seperti edisi terdahulu dengan format timbal balik.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 5:20 PM