PEMAIN JDT, Diogo Luis Santo (tengah) diasak pemain Suwon Bluewing FC, Choi Sungguen (kiri) ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT, Diogo Luis Santo (tengah) diasak pemain Suwon Bluewing FC, Choi Sungguen (kiri) ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Suwon Bluewings, Lee Lim-saeng mengakui terkejut dengan corak permainan kemas Johor Darul Ta'zim selepas tewas 1-2 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Jelasnya corak permainan yang ditampilkan anak didik Benjamin Mora berbeza ketika pasukan itu tewas 1-5 ke atas kelab dari Jepun, Vissel Kobe dan pemainnya juga terperangkap dengan helah permainan skuad Harimau Selatan.

“JDT begitu tersusun corak permainan mereka malah kami juga tidak beraksi dengan baik pada aksi babak pertama dan ketika kami ketinggalan 0-1, pemain saya cuba untuk beri tekanan namun benteng JDT begitu kemas bertahan.

“Kami bangkit dengan gol penyamaan sebaik babak kedua bermula dan memberi tekanan terhadap JDT menerusi gerakan serangan pantas namun JDT kembali menjaringkan gol hasil gerak susun ketika benteng saya agak leka.

“Apapun saya tidak mahu menyalahkan pemain selepas kita tewas dalam perlawanan itu. Ini pertama kali kami beraksi dalam keadaan cuaca panas yang menjejaskan rentak permainan kami dan pemain tampak keletihan," katanya.

Pada aksi itu Gonzalo Cabrera membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 tapi tempoh 10 minit babak kedua bermula, Suwon Bluewings bangkit menyamakan jaringan oleh Terry Antonis.

Namun kelibat pemain terbaik Piala Sumbangsih, Mauricio Nascimto muncul wira buat JDT selepas menanduk masuk pada minit ke-73 bagi memastikan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.

Ditanya sama ada keputusan pengadli perlawanan Alireza Faghani tepat selepas menghadiahkan sepakan kepada JDT, Lim-saeng menegaskan beliau tidak nampak apa yang berlaku dan akan menganalisa rakaman video.

Saya tidak nampak apa yang berlaku. Perlu rujuk rakaman video dan apa juga keputusan pengadil perlawanan, kami perlu menghormatinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 8:14 PM