FARIS (dua dari kanan) berazam mahu membantu TFC merangkul sekurang-kurangnya satu trofi.
FARIS (dua dari kanan) berazam mahu membantu TFC merangkul sekurang-kurangnya satu trofi.
Oleh Malik Muhamad


PEMAIN import Terengganu FC (TFC), Faris Ramli mendedahkan kesungguhan pasukan itu untuk mendapatkan khidmatnya musim ini membuatkan dia ‘jatuh cinta’ dengan skuad Penyu.

Pemain sayap kelahiran Singapura itu mengakui skuad kendalian Nafuzi Zain itu memiliki aura sebagai juara, sekali gus menguatkan lagi untuknya memilih skuad itu walaupun diintai beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan kelab luar negara.

Katanya, selepas sah bersama skuad itu musim ini, dia berazam mahu membantu TFC merangkul sekurang-kurangnya satu trofi selepas gagal melakukannya musim lalu ketika mewakili PKNS.

“Saya sudah bermain selama lima musim dalam Liga M dan akui TFC memang satu pasukan bagus serta memiliki reputasinya tersendiri.

“Cuma mungkin pasukan ini belum bertuah untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2018 selepas tewas pada aksi final bertemu Perak biarpun mendahului 2-0 pada satu ketika,” kata Faris ketika ditemui selepas aksi persahabatan bertemu kelab dari Indonesia, Madura United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu yang berkesudahan TFC menang 2-0.

Selain Faris yang menjadi pemain import pertama dirantai TFC musim ini bagi kuota Asean, dua lagi pemain diikat termasuk Dominique da Slyva dari Mauritania dan Babacar Diallo dari Senegal selain mengekalkan dua import musim lalu, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov.

“Walaupun ada pasukan lain dalam Liga M berminat mendapatkan khidmat saya, TFC adalah pasukan pertama menghubungi saya dan minat ditunjukkan menyebabkan tawaran itu sukar ditolak.

“Selain itu, saya juga terharu dengan ketua jurulatih Nafuzi yang mahukan saya datang dan beliau secara peribadi berhubung dengan saya untuk bincang.

“Sebelum datang ke sini saya menyaksikan beberapa perlawanan TFC untuk melihat corak permainan diterapkan termasuk ketika muncul juara di kejohanan Bangladesh musim lalu, semestinya ia menepati citarasa saya,” katanya.

Sebelum menyertai skuad Penyu, pemain kebangsaan Singapura berusia 28 tahun itu pernah mewakili kelab dalam Liga Singapura, Lions Xlll, Young Lions, PKNS FC dan terakhir Hougang United FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:00 AM