SHITEMBI perkasa TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
SHITEMBI perkasa TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menamatkan teka-teki mengenai status tonggak kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi apabila sah merantai pemain itu bagi memperkuatkan jentera skuad Penyu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Pemain tengah menyerang itu yang digelar 'The Dancing Shoes' bakal mengisi posisi yang sebelum ini menjadi milik kapten berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck yang tidak disambung kontrak selepas membuat 57 penampilan dengan meledak 23 gol sejak menyertai skuad Penyu pada 2018.

Dengan pengesahan itu, pemain berusia 28 tahun yang kini masih lagi memakai lilitan kapten bersama pasukan negaranya menjadi pemain import pertama diikat kelab itu.

Terdahulu skuad bimbingan Nafuzi Zain dan pembantunya Tengku Hazman Raja Hassan itu sudah merantai tujuh pemain tempatan termasuk bekas kapten skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Menerusi kenyataan media rasmi TFC sebentar tadi, kelab itu mengumumkan Shitembi yang beraksi dengan pasukan Sabah musim ini diikat selama setahun bersama pasukan itu.

"Pemain kelahiran Namibia, Shitembi kini sah menjadi milik TFC musim depan selepas bekas pemain skuad Tambadau itu bersetuju dengan tawaran untuk berhijrah dari Borneo ke Pantai Timur.

"Pemain yang dominan dengan kaki kiri itu diikat selama setahun bersama skuad TFC, jadi harapan kelab pemain yang bijak mencipta peluang di depan gol sama ada melalui permainan terbuka mahupun situasi 'set-pieces' mampu membantu pasukan merakam kejayaan gemilang musim depan," demikian reaksi kenyataan itu.

Sepanjang pembabitannya bersama pasukan kebangsaan, Shitembi yang bakal menyarung jersi bernombor 19 bersama pasukan TFC sudah beraksi sebanyak 65 perlawanan sejak 2010 selain berpengalaman bersama sembilan kelab termasuk Sabah.

Sebelum ini selain Tuck, TFC turut mengumumkan tidak menyambung kontrak empat lagi awang importnya iaitu Muhammad Faris Ramli (Singapura), Babacar Diallo (Senegal), Dominique Da Sylva (Mauritania) dan pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 1:11 PM