Christie Jayaseelan (kiri) meraikan jaringan ketika beraksi bersama Felda dalam Liga M musim lalu.
Christie Jayaseelan (kiri) meraikan jaringan ketika beraksi bersama Felda dalam Liga M musim lalu.
Asrol Awang


BEKAS pemain kebangsaan, Christie Jayaseelan mengesahkan PJ City FC menjadi pilihan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Christie yang beraksi bersama Felda United menandatangani kontrak semusim bersama skuad kendalian K Devan itu.

Katanya, keputusan itu diharap tepat dalam usaha membantu PJ City mencatat keputusan membanggakan selepas kelab itu sekadar menduduki tangga kelapan Liga Super musim ini.

"Dengan sokongan padu daripada pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan, saya harap keputusan lebih baik bakal memihak kepada PJ City musim depan.

"Misi peribadi saya adalah untuk meletakkan PJ City berada dalam kedudukan empat pasukan terbaik dan ia diharap menjadi kenyataan." katanya.

Christie memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama pasukan PKNS pada 2007 hingga 2001, diikuti Angkatan Tentera Malaysia (2012-2015), Felda United (2015-2016), Pahang (2017) dan kembali ke Felda (2018-2019).

Sebelum memilih PJ City, pemain berumur 33 tahun itu turut menerima tawaran dua pasukan, masing-masing satu dari Liga Super dan Liga Perdana.

Sepanjang dua musim bersama The Fighters, Christie membantu kelab itu muncul juara Liga Perdana pada 2018 yang membolehkan kelab itu beraksi di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 1:09 PM