Pemain Gelombang United bersama piala yang dimenangi.
Pemain Gelombang United bersama piala yang dimenangi.

GELOMBANG United memastikan kejuaraan hatrik milik mereka pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Terbuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menewaskan KLM Soccer, 2-1 dalam aksi final di Gelanggang Bola Sepak Pantai UiTM Shah Alam, Ahad lalu.

Pengurus pasukan Gelombang United, Yahya Mohd Nor berkata, cabaran daripada pasukan lawan yang bertanding tidak kurang sengit namun pemain berjaya mengawal rentak permainan dan beraksi baik sepanjang kejohanan.

“Pada final itu saya agak terkejut juga apabila lawan memperoleh gol awal kerana pada saingan suku akhir dan separuh akhir kami tak pernah bolos gol awal.

“Namun pemain memperbaiki permainan dengan semangat dan kegigihan tinggi seterusnya berjaya mengatasi lawan untuk muncul juara kejohanan,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Gelombang menerima Piala Pusingan, wang tunai RM2,000 serta medal, manakala KLM menerima RM1,000 serta medal.

Tempat ketiga menjadi milik pasukan UiTM yang mengatasi NR Team, 2-1. UiTM membawa pulang RM700 serta medal manakala NR Team menerima RM300 serta medal.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

Kejohanan selama dua hari yang dianjurkan kali ketiga membabitkan penyertaan 21 pasukan dari seluruh negeri termasuk dua wakil Thailand, Pratunam BSB dan Pakkret City D Sport.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 3:58 PM