Pratunam beraksi dalam Liga Bola Sepak Pantai Thailand
Pratunam beraksi dalam Liga Bola Sepak Pantai Thailand

DUA pasukan dari Liga Thailand mengesahkan penyertaan di Kejohanan Bola Sepak Pantai Terbuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2019 pada 29 November hingga 1 Disember ini.

Kejohanan membabitkan 22 pasukan dari seluruh negara berlangsung di Gelanggang Bola Sepak Pantai UiTM Shah Alam.

Kejohanan yang memasuki edisi ketiga penganjuran ini adalah inisiatif Pusat Sukan UiTM untuk merancakkan penganjuran sukan bola sepak pantai di Malaysia selain dari sukan bola sepak dan futsal yang lebih aktif di kalangan peminat suka bola sepak tanah air.

Setiausaha kejohanan, Zamri Abd Kahar berkata, kejohanan pada tahun ini lebih menarik apabila dua pasukan dari Thailand sudah mengesahkan penyertaan untuk turut serta dalam kejohanan ini.

Menurutnya, pasukan yang berpangkalan di Bangkok ini adalah pasukan yang bermain dalam Liga Bola Sepak Pantai Thailand iaitu Pratunam BSB dan Pakkret City D Sport.

“Pratunam yang membuat kemunculan kali pertama akan membariskan seorang pemain kebangsaan Thailand yang beraksi di Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF 2019 di Chonburi, Thailand pada 13 hingga 17 November lalu.

“Kedua-dua pasukan kini baharu sahaja menghabiskan liga mereka di sana dan akan menyertai kejohanan ini bagi tujuan menimba pengalaman bermain dengan pasukan-pasukan bola sepak pantai di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, antara pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan seperti pasukan NR dan KTP FC dari Terengganu serta beberapa pasukan dari Lembah Klang. Orang ramai dijemput untuk menyaksikan kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 2:57 PM