PEMENANG futsal PEMATAA ceria dengan hadiah di Kompleks Sukan Hang Jebat Paya Rumput.
PEMENANG futsal PEMATAA ceria dengan hadiah di Kompleks Sukan Hang Jebat Paya Rumput.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Cakcibo FT muncul juara Futsal bawah 15 tahun Anjuran Persatuan Kebajikan dan Sukan Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz Melaka (PEMATAA) di Kompleks Sukan Komuniti Hang Jebat, Paya Rumput, baru-baru ini.

Pasukan terbabit menang tipis 1-0, mengatasi Cokoroi FT di pentas final, sekali gus membawa pulang piala dan RM400 serta medal manakala naib juara meraih RM250 serta medal.

Penyelaras program, Zaihairi Zailani berkata, kejohanan merebut trofi Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz (RBLTAA) Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz itu membabitkan 36 penyertaan.

Hadiah disampaikan Pengetua RBLTAA merangkap penaung PEMATAA, Bahrin Md Lani. Turut hadir, Pengerusi PEMATAA, Mohamad Osman Yusop.

Katanya, kejohanan itu berjaya mendedahkan bakat baru dalam sukan berkenaan sekali gus membentuk dan melahirkan generasi sihat.

“Sambutan menggalakkan itu membuktikan lebih ramai permata sukan futsal bakal dibentuk bagi menggalas cabaran masa depan skuad negara.

“Semangat kesukanan tinggi dalam kalangan peserta amat membanggakan dan pada masa sama, mengeratkan hubungan kaum dan memperkenalkan RBLTAA sebagai pusat pentadbiran dan perlindungan remaja kurang bernasib baik termasuk anak yatim kepada umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:49 AM