STUART bercakap kepada wartawan ketika sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya.  - FOTO Owee Ah Chun
STUART bercakap kepada wartawan ketika sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya. - FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad


HANYA seorang pemain import mewarnai saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim depan. Perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-9 bagi Penggal 2017-2021, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan menetapkan kriteria khusus bagi memastikan urusan berkaitan pemain import dicadangkan Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai (JKFBP) sebelum ini berjalan lancar.

Katanya, ia termasuk penetapan soal tangga gaji pemain import bagi memastikan pengurusan pasukan tidak berdepan sebarang masalah.

"Liga Futsal bermula pada Mac 2020 dengan 12 pasukan lelaki dan lapan wanita bertanding merebut kejuaraan Piala Futsal. Selain itu mesyuarat juga menetapkan musim depan setiap pasukan mesti mempunyai jurulatih kecergasan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan impian untuk melihat saingan MPFL musim depan dimeriahkan dengan kehadiran pemain import bakal menjadi kenyataan apabila dibincangkan dalam Mesyuarat JKFBP.

Cadangan membuka ruang pemain import beraksi dalam liga futsal kebangsaan pernah dibangkitkan pada 2014, namun belum menjadi kenyataan sehingga kini.

Sementara itu, Stuart berkata, perkara lain dibincangkan termasuk siri jelajah DNA bola sepak negara bermula Disember ini dan akan berlangsung di enam lokasi tahun depan, pendidikan kejurulatihan peringkat akar umbi hingga lesen profesional dan perkembangan pelaksanaan Peta Hala Tuju F:30.

Katanya, turut dibincangkan kejayaan FAM yang disenarai pendek untuk Anugerah Pengiktirafan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 di Hong Kong minggu depan.

"Ini adalah pencapaian tertinggi FAM apabila disenarai pendek bersama Persatuan Bolasepak Jepun dan China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 8:11 PM