STUART (kanan) bersama   Pengerusi First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif   menunjukkan buku peraturan perlesenan kelab 2019  pada September lalu.
STUART (kanan) bersama Pengerusi First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menunjukkan buku peraturan perlesenan kelab 2019 pada September lalu.
Syazwan Msar


LAPAN kelab yang tidak melengkapkan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020 bagi membolehkan mereka beraksi pada musim hadapan berjaya berbuat demikian sebaik tamat tempoh diberikan 30 Oktober lalu sekali gus menyelamatkan pasukan seperti Melaka, PKNS, Kelantan, Sarawak, UKM, Selangor United, PDRM dan Pulau Pinang daripada dikenakan tindakan termasuk kemungkinan turun ke liga bawahan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam kenyataannya memaklumkan UKM diberikan lesen kebangsaan manakala Kelantan dan Sarawak pula mendapat lesen berkenaan dengan bersyarat.

Beliau berkata, kes membabitkan Kelantan dan Sarawak diberikan lesen kebangsaan bersyarat disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.

“Kedua-dua pasukan sudah mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua perkara itu dipenuhi. Jika ada yang gagal, lesen kebangsaan mereka boleh dibatalkan.

“Bagi Selangor United, PDRM dan Pulau Pinang yang diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat sebelum ini, mereka kini sudah pun berjaya memenuhi syarat ditetapkan. Manakala pasukan Liga Super seperti Melaka dan PKNS pula berjaya memenuhi syarat ditetapkan dan sudah pun diluluskan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM,” katanya, di sini. Menurutnya, seperti dimaklumkan pada mesyuarat FIB pada 27 September lalu,FAM selaku pemberi lesen mengambil langkah proaktif untuk membendung masalah tunggakan bagi tahun ini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan sembilan pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak melengkapkan lesen kelab kebangsaan dan AFC 2020 bagi membolehkan mereka beraksi pada musim hadapan. Lapan pasukan terbabit mendapat lesen kebangsaan dengan masing-masing diberikan syarat atau ditangguhkan kelulusan sehingga penghujung Oktober lalu. PKNP pula yang dilihat tidak komited dalam melengkapkan borang menyebabkan permohonan pasukan terbabit ditolak seterusnya dikenakan hukuman turun ke Liga Perdana musin hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:45 PM