PEMAIN Kelantan meraikan jaringan ketika aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). FOTO Syamsi Suhaimi
PEMAIN Kelantan meraikan jaringan ketika aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). FOTO Syamsi Suhaimi
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Sebelas daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super tahun ini lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, sekiranya layak.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, kelmarin.

Daripada 11 pasukan itu, Kedah, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala Kuala Lumpur, Pahang dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan bersyarat.

Selain itu, Kedah, Selangor, JDT, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2019, jika layak.

Sementara permohonan dua pasukan PKNP dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan lesen AFC ditolak kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan.

Pahang pula tidak layak dalam permohonan Lesen AFC disebabkan mereka dikenakan penggantungan yang tidak membenarkan mereka memohon untuk Lesen AFC selama dua tahun.

Satu lagi pasukan Liga Super 2018 iaitu Kelantan gagal mendapatkan lesen kebangsaan dan AFC kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam, beberapa kriteria perlu dipenuhi setiap pasukan untuk mendapatkan lesen kelab.

“Mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

“Bagi pasukan yang gagal, mereka diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadual akan didengar dalam masa terdekat,” katanya.

Tegas Stuart, lesen kebangsaan dan AFC yang dikeluarkan sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim itu.

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 9:54 PM