Syazwan Msar

Kelana Jaya: Meletakkan jurulatih sebagai antara pemilik syarikat menyebabkan tindakan UKM FC itu menimbulkan keraguan sekali gus perlu memberikan penjelasan atau surat sokongan untuk mendapatkan kelulusan berkaitan proses penswastaan terbabit.

Walaupun pasukan terbabit berjaya melengkapkan borang selain menghantar segala dokumen diperlukan menjelang tarikh akhir 30 September lalu, jelas sekali tindakan terbabit diragui dan memerlukan siasatan terperinci daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan kelulusan.

Perkara terbabit diakui Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam apabila melihat Ketua Jurulatih UKM FC Sulaiman Hussin dalam senarai nama pengarah syarikat Varsity Boys Sdn Bhd.

Beliau berkata, perkara terbabit memerlukan penjelasan secara terperinci terutama membabitkan kemampuan daripada segi kewangan dalam memacu syarikat terbabit untuk mengendalikan UKM FC.

"Felda United FC pula sudah menghantar segala dokumen namun perubahan pengurusan menyebabkan mereka memerlukan dokumen berkaitan bagi menyokong perkara terbabit.

"UKM FC pula, FAM menerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional meminta mereka menyediakan dokumen berkaitan terutama berkaitan aspek kewangan kerana sedia maklum perkara terbabit penting bagi sebuah pasukan dan tidak mahu perkara terbabit timbul pada masa akan datang.

"Pada masa sama meletakkan seorang jurulatih sebagai pengarah syarikat turut menimbulkan keraguan berkaitan kemampuan terutama membabitkan kewangan," katanya, dalam sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP

Berikutan itu, Stuart berkata, kedua-dua pasukan terbabit dikehendaki menghantar dokumen yang diminta dalam tempoh dua minggu dan jika gagal berbuat demikian kemungkinan akan dikenakan tindakan lanjut nanti.

Sementara itu menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) FAM mendapati semua pasukan Liga Malaysia yang memohon lesen terbabit lulus namun lapan daripada senarai itu dikenakan syarat dengan perlu mengemukakan dan melengkapkan beberapa dokumen berkaitan.

"Pasukan Liga Super menyaksikan semua pasukan lulus permohonan lesen kebangsaan cuma Pahang dan Melaka pula diberikan secara bersyarat seterusnya perlu menghantar dokumen seperti yang diminta FIB.

"Selain itu, pasukan Liga Premier pula, terdapat lapan permohonan namun lima daripada diberikan secara bersyarat iaitu Kuching FC, Kelantan FA, UKM FC, Pulau Pinang dan Sarawak manakala Kelantan United FC, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan tidak berhadapan masalah," katanya.

Stuart berkata, semua dokumen berkenaan diberikan tempoh sehingga hujung bulan ini dan jika gagal berbuat demikian lesen berkenaan akan ditarik balik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 8:46 PM