FERNS gembira akhirnya keputusan berpihak kepadanya dan Melaka dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti yang dipersetujui sebelum ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka
FERNS gembira akhirnya keputusan berpihak kepadanya dan Melaka dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti yang dipersetujui sebelum ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain Melaka, Curran Ferns gembira dan berpuas hati apabila keputusan membabitkan tunggakan gaji akhirnya berpihak kepadanya.

Ferns berkata, situasi tunggakan gaji memberikannya satu pengalaman berharga sepanjang bergelar pemain profesional sekali gus perlu lebih berhati-hati dalam memilih pasukan pada masa akan datang.

Katanya, pembayaran tunggakan gaji berkenaan akan diuruskan oleh peguamnya dan berharap perkara terbabit menjadi iktibar kepada pasukan untuk sentiasa memenuhi janji dan membayar gaji pemain.

"Saya gembira akhirnya keputusan berpihak kepada saya dan Melaka dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti yang dipersetujui sebelum ini.

"Ketika ini, saya mahu membuka buku baharu dan berhijrah ke Australia untuk bermain di kelab negara terbabit," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan terdapat tunggakan gaji yang perlu diselesaikan oleh Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) kepada pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu.

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuaratnya baru-baru ini mengarahkan Musa membayar tunggakan gaji sebanyak RM97,500.00 kepada pemain terbabit.

Sementara itu, enam pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang diberi lesen kelab kebangsaan secara bersyarat boleh menarik nafas lega apabila mereka berjaya memenuhi syarat memperoleh lesen terbabit sekali gus layak beraksi pada saingan liga musim ini.

Pasukan berkenaan terdiri daripada dua kelab Liga Super iaitu Pahang dan Melaka, manakala bakinya adalah empat pasukan Liga Perdana iaitu Kelantan, Sarawak United FC, Pulau Pinang dan Kuching City FC.

Bagaimanapun, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, lesen kelab kebangsaan dengan bersyarat yang diberikan kepada UKM FC sebelum ini ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 12:36 AM