Skuad hoki negara garang atasi Fiji. FOTO Persekutuan Hoki Bangladesh
Skuad hoki negara garang atasi Fiji. FOTO Persekutuan Hoki Bangladesh
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara meneruskan rentak kemenangan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia apabila membelasah Fiji 11-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, hari ini.

Penyerang negara Shahril Saabah mempamer aksi cemerlang menjaringkan empat gol sementara pemain tengah Fitri Saari meledak hatrik.

Seorang lagi penyerang negara Rashid Baharom turut berada pada prestasi terbaik apabila menyumbang dua gol.

Turut menghadiahkan gol adalah pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abdul Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Tidak kira apa juga keputusan pada aksi hari ini, kesemua empat pasukan di dalam Kumpulan A akan layak ke suku akhir yang menggunakan format 'crossover' itu.

Bagi skuad negara, kemenangan ke atas Fiji menyaksikan Malaysian Tigers mengungguli tangga teratas peringkat kumpulan dan bakal bertemu Sri Lanka yang menduduki tangga tercorot dari Kumpulan B pada aksi suku akhir, Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 3:21 PM